Assalamualaikum WBT
Entri ini ialah sambungan dari sebelumnya, masih berkisar tentang talam. Tidak disangkal lagi Sunnah Nabi SAW ini jika diamalkan akan memberikan kita faedah dan ganjaran yang besar di akhirat kelak In sha Allah. Rata-rata mengatakan tidak ada hadith yang sahih menyebut makan menggunakan talam ialah Sunnah Rasulullah SAW, namun sekiranya kita mahu makan bersama-sama secara berjemaah, penggunaan pinggan besar, pelapik makanan atau talam adalah yang paling praktikal. Lagi besar saiznya, lagi ramailah boleh berkongsi makanan. Makan bersama-sama ini bertepatan dengan Hadith Nabi SAW yang mana mafhumnya berbunyi. "Berjama'ah dalam menyantap hidanganmu dan sebut nama Allah padanya, nescaya akan mengandungi berkah bagimu" (Silsilah Hadits-Hadits Shahih no. 664). Banyak lagi hadith yang menyebut perkara dan anjuran yang sama iaitu makan secara berjemaah.
Selalunya makan dalam talam atau dulang ini dikaitkan dengan jemaah Tabligh kerana di dalam kehidupan jemaah ini, mereka memang di ajar tentang pelbagai adab termasuklah adab makan. Makan secara berjemaah memang istimewa, kemeriahannya dapat dirasakan pada bulan Ramadhan di masjid-masjid yang menjalankan majlis iftar dan sesekali dalam kenduri kahwin. Hal ini juga sudah dijadikan amalan di pusat-pusat asuhan kanak-kanak yang islamik. Initipati sebenar makan menggunakan talam bukanlah semata-mata hendak menjimatkan masa membasuh pinggan, namun di sebalik cara makan ini tersembunyi hikmah dan kebaikan bagi yang menghayatinya. Bagaimana hendak mendapatkan 'feel'nya makan setalam? Di sini disertakan 13 tatacara makan talam setakat mana yang diketahui dan tambahan dari kerja-kerja meng'google'. Jikalau ada di kalangan pembaca ingin membuat penambahan silalah tinggalkan di ruangan komentar.
1. Pastikan kuku dipotong dan bersih dan cuci tangan sebersih-bersihnya. Islam menganjurkan kita membasuh tangan sebelum makan dan amalan membasuh tangan memang penting sehinggakan kita membasuh tangan dua kali ketika berwudhuk. Basuhan yang pertama ialah kedua tapak tangan hingga ke pergelangan tangan ialah sunat dan yang kedua meratakan air sehingga ke pergelangan siku ialah rukun wudhuk. In Sha Allah saya akan kongsikan apa yang saya pelajari tentang wudhuk dalam entri yang lain.
2. Duduk dengan sopan dan betul supaya dapat memberi ruang yang sepatutnya kepada orang lain dan juga perut kita. Caranya, duduk seperti duduk Tahiyat Awwal; punggung dilapik dengan kaki kiri, bezanya kaki kanan dinaikkan sehingga lutut di dada dan tangan kanan di luar kaki. Bila duduk dengan cara begini, perut akan dibahagikan dengan elok; sepertiga untuk minuman, sepertiga untuk makanan dan sepertiga untuk angin. Gaya duduk begini juga mengajar kita erti tawaddhuk, menghormati makanan dan menunjukkan kita ini bersifat terbuka terutama sekali dengan oranag yang berkongsi talam sewaktu makan. Rasulullah SAW menasihati kita agar tidak makan dengan gaya sombong dan bermegah-megah.
3. Menyebut Nama Allah (Bismillah) dan membaca do'a makan. Ada beberapa hadith yang berlainan mengenai membaca 'Bismillah' ataupun 'Bismillahirrohmanirrohim' sebelum menjamah makanan, makanan itu tidak akan dapat disertai oleh syaitan.
4. Makan dengan tangan kanan. Nabi SAW bersabda yang diriwayatkan Ibn Umar mafhumnya berbunyi "Apabila kamu hendak makan, makanlah dengan tangan kanan dan apabila kamu hendak minum, minumlah dengan tangan kanan. Kerana syaitan makan dengan tangan kiri dan minum dengan tangan kiri. Anggota kiri bila digerakkan akan mencetuskan otak kanan yang mengaktifkan ciri-ciri negatif seperti mementingkan diri sendiri, sombong, bermegah-megah dan lain-lain, manakala anggota kanan mencetuskan otak kiri yang lebih kepada perasaan yang positif dan gembira. Anjuran memakan dengan tangan kanan adalah penting dalam membina umat yang positif dan cara makan yang penuh etika ala barat sewaktu majlis makan malam paling tidak ketika menikmati makanan barat sewajarnya di'basuh' dan dimurnikan semula dengan mengikut ajaran Penghulu Segala Nabi, tidak lain tidak bukan Nabi Muhammad SAW.
5. Makan menggunakan tiga jari iaitu ibu jari, jari telunjuk dan jari tengah. Juga diharuskan menggunakan lima jari mengikut kesesuaian makanan.
6. Nabi SAW selalu mencolek garam dengan jari kelingking tangan kanan sebelum makan dan menghisapnya kemudian mencolek garam dengan jari manis Baginda di antara suapan-suapan sewaktu menjamah makanan. Amalan mencolek garam ini berkesan untuk menghindarkan 70 jenis penyakit. Info tentang garam telah saya tulis sebelum ini.
7. Mula makan dari tepi ke tengah. Selalunya dalam sesi bertaaruf dengan rakan-rakan setalam, ada yang menghadiahkan suapan pertama untuk rakan baru, ada juga yang membahagikan makanan dalam talam dengan menggunakan tangan. Bila seorang melihat kawannya jauh dari lauk, diambil dengan tangan dan dihulur kepada yang tiada lauk. Objektif makan cara begini bukanlah untuk makan sekenyang-kenyangnya ataupun siapa makan cepat dia makan lebih banyak, tetapi untuk mengajar kita berkongsi dan bertolak-ansur hatta dengan orang yang hanya kita kenali tidak lebih dari saudara seislam. Ia juga untuk melatih sifat cakna, mesra, merendah diri dan tidak menilai orang lain dari luarannya sahaja. Kita juga dilarang mengenakan kawan-kawan kita dengan meninggalkan sejumlah besar makanan yang tidak mampu dihabiskannya dan berhentilah sebelum kenyang seperti anjuran Baginda SAW.
8. Makanan yang tidak sedap usah dicela. Jika menepati selera, makanlah lebih, jika tidak makanlah sedikit. Allah jadikan lidah manusia berbeza-beza; ada yang 'super-taster' ada yang tidak ('non-taster').
9. Kutip makanan yang tertumpah. Ini juga melatih sifat rendah diri dan meningkatkan tawakkal kepada Allah SWT. Nabi SAW menyuruh kita mengutip makanan yang tertumpah, buangkan bahagian yang terkena kotor (atau kita boleh basuh mahupun sapu) dan tidak meninggalkan makanan yang tumpah itu kepada syaitan.
10. Beramah-mesralah ketika makan. Masa makan seperti inilah meningkatkan skil bercakap dengan sopan dan menghormati orang lain. Sesi taaruf kemudiannya boleh menjadi sesi menyampaikan dakwah dan perkongsian ilmu secara santai.
11. Jilatlah jari sehingga licin. Renungkanlah, Kekasih Allah yang tinggi darjatnya dan dijamin syurga pun sangat menghormati dan bersyukur terhadap rezeki, inikan pula kita manusia biasa sementelahan pula kita tidak tahu entah di celah-celah atau bahagian manakah jari kita terdapatnya keberkatan makanan, Wallahu'alam.
12. Ucapkanlah 'Alhamdulillah' ataupun Doa setelah Makan.
13. Biasakan diri untuk membasuh talam dan mencuci lantai dari kesan-kesan makanan jika makan di masjid-masjid. Tempat makan yang bersih lebih menyenangkan hati dan kebersihan itu sebahagian daripada iman.
Jika dilihat semula, memang sukar bermujahadah jika mengambilkira pandangan orang-orang yang kurang faham tentang makan setalam ini. Tidak kurang juga yang berfikiran negatif dengan menyatakan kegelian dan takut dianngap 'tidak moden' atau kekampungan jika makan talam. Bahkan lebih sukar bermujahadah menghalang diri dari perasaan bangga apabila makan dengan gaya Pesuruh Allah Azzawajalla; sepertinya diri sudah lebih baik dari yang lain. Nauzubillahiminzaalik.
namun, setelah kenangan betapa nikmatnya menjamah hidangan dengan cara begini segar kembali, pulang sahaja dari hospital pagi tadi terus saya semangat membelokkan kereta ke kedai plastik mencari talam yang sesuai. Makan 'berebut' kata orang memang lebih sedap; walhal kita tidak berebut pun. Hari kedua makan dengan talam, percubaan pertama dengan menghidangkan kek sewaktu jam minum pagi. Gelak sekejap kerana habis dikeca bayi-bayi yang bercakap bahasa 'Planet Baby' siapa lagi kalau bukan Abdullah dan dua orang sepupunya.
![]() |
| Tinggal si Abang Adib, kakak Adibah menyorok kerana takut 'ATOMEN' (Ultraman), Abdullah pula pergi minum susu. |
Sekian,
Wassalam WBT
-----------------------------------------------------
Kongsikan ilmu kepakaran anda dan ceritakan pengalaman atau perniagaan anda kepada pembaca melalui penulisan blog. Kelas Asas Blog dan Penulisan, Kelas Asas Blog dan Fanpage juga Kelas Beriklan di Mudah.my sentiasa bersiaran. Maklumat mengenai kelas boleh dirujuk di sini. Beriklan juga semakin mudah dengan pakej serendah RM50.00. Mahu tahu butiran pakej pengiklanan? Sila klik di sini. Teruja mahu tahu cara memulakan blog sendiri? Sila daftar di sini.

No comments:
Post a Comment