Teks: Siti Nurulhusna Hashim
Bismillah
Assalamualaikum WBT
Lega rasanya dapat segarkan badan setelah berkejar dengan anak yang tangkas macam komando. Sekejap tungging buyung di belakang kita, tahu-tahu dah sampai ke dapur mencapai itu dan ini. Pendek kata segala sumber dijadikan bahan permainan. Alam penerokaan bermula; seiring dengan rancangan Upin dan Ipin yang mahu tidak mahu terpaksa menjadi tontonan wajib ummi juga abi. Ini tidak kira lagi Ultraman, Timmy Time, Hungry Henry, Pocoyo, Charlie and The Numbers dan ya, Elmo's World! Siap terkodek-kodek bila nampak Elmo muncul dan bersuara. Tapi yang lucu dan membuat kami sekeluarga ketawa, joget dan gerakannya pinggang ke atas sahaja.
Namun rancangan kartun yang berlebihan perlu dikurangkan kerana bimbang anak saya nanti berotak kartun pula. Memanglah dia duduk baik dan senyap bila terpana melihat aksi kartun, tetapi seolah-olah dia sedang merakam aksi-aksi tersebut untuk dicuba. Sendiri rasa tidak sedap hati bila dia menonton Ultraman bertumbuk dengan pelbagai rasaksa yang bentuknya sudahlah pelik, menakutkan pula. Sebenarnya saya dahulu peminat kisah-kisah aksi, penyiasatan dan yang bergenre 'thriller' tetapi sekarang sudah bertukar selera kepada cerita komedi dan yang bermotivasi. Ini untuk anak juga. Rancangan televisyen jikalau dulu hanya saluran 701 hinggalah saluran 711 jadi keutamaan disulami TV Al-Hijrah sekali sekala, sekarang saya lebihkan saluran yang 105 hingga 114.
Jika hendak diikutkan, rancangan masakanlah yang paling mengujakan. Kalau ada chef-chef yang saya gemari seperti Jamie Oliver, Anna Olson dan Chef Wan sedang bersiaran, memang suami dan anak-anak 'tertengok' juga. Paling tidak pun, suami tonton rakaman kegemaran beliau di Youtube sahaja dengan syarat tiada siapa menganggu waktu emas beliau bila perlawanan langsung bola sepak bersiaran. Lain halnya jika rancangan Masterchef, My Kitchen Rules dan Junior Masterchef bersiaran ketiga-tiga beranak kami akan bersatu hati menontonnya (adik LK selalu lena; jikalau tidak pun dia memandang juga ke arah televisyen sekali sekala tetapi kebiasaannya dia lebih gemar menyusu daripada memperdulikan urusan duniawi yang satu ini!).
Ternyata yang disajikan di kaca televisyen ada baik dan buruknya. Walaupun rancangan yang disiarkan adalah rancangan kartun yang kita rasakan sinonim dengan anak-anak, tetapi ada kartun yang memang untuk kanak-kanak dan ada kartun yang lebih sesuai untuk orang dewasa. Sebagai contoh kartun Naruto Shippuden; sah-sah wataknya orang-orang dewasa dan isu yang ditonjolkan juga isu alam dewasa. Berbeza dengan animasi Maruko Chibi Chan, Hagemaru Hagenda malah Crayon Sin Chan yang berwatakkan kanak-kanak namun nilai yang diajar adalah loyar buruk yang membuatkan orang dewasa ketawa kerana faham tindakan dan lelucon itu tetapi terlupa pula yang anak-anak meniru bulat-bulat nilai-nilai yang diperhatikan.
Menyentuh perkara di atas, tiba-tiba otak teringatkan seorang kakak yang sama terlantar di hospital bersalin tahun lalu. Berbual dengan beliau membuatkan saya kagum melihat beliau tabah mengharungi kesakitan di samping menjaga anak yang baru lahir (pundi kencing beliau tertoreh sewaktu pembedahan, jadi beliau perlu tinggal lama di hospital untuk rawatan lanjut). Yang membuatkan saya lebih kagum lagi ialah, beliau juga berhenti kerja untuk menjadi surirumahtangga dan dua orang anaknya sedang bersekolah di Maahad Tahfiz. Saya tanyakan bagaimana beliau memupuk minat anak-anaknya membudayakan Al-Quran di rumah? Anak-anaknya tidak menonton televisyenkah? Makanan macamana pula? Jawab beliau, beliau memang pasangkan CD Al-Quran dalam kereta dan waktu pagi setelah anak bangun, mereka sudah dengar bacaan ayat-ayat suci Al-Quran sebagai ulangkaji. Beliau dan suami benarkan anak-anak menonton rancangan kartun tetapi ditapis. Makanan Alhamdulillah kata beliau, anak-anaknya gemar masakan rumah.
Ditapis. Itulah kuncinya bagi saya mengkelaskan rancangan-rancangan di televisyen. Saya pun baru bermula dalam menginsankan anak-anak saya ke arah Islam. Persoalannya, jikalau saya asyik dengan rancangan Dance Mom, The Voice, akademi itu, akademi ini, pop itu, pop ini, Hi-5 lagi ditambah; tidakkah ini seperti menyediakan anak-anak saya untuk menjadi selebriti yang 'all-rounded'? Makan pun kerap juga dibeli di kedai sahaja. Biar saya tepuk dan lepuk dahi sendiri sekarang daripada nanti-nanti menanti doa anak-anak dari dalam kubur tetapi tidak kesampaian. La haulawala Quwata Illa Billahil'aliyil 'Azim. Wallahu'alam.
.jpg) |
| "Wahai Tuhanku, jadikanlah daku orang yang mendirikan solat, dan demikian juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku. Wahai Tuhan kami, kurniakanlah keampunan kepadaku, dan kepada kedua ibu bapaku serta kepada orang-orang yang beriman pada hari berlakunya Hisab" Surah Ibrahim, Ayat 40-41. [Gambar Upin dan Ipin bersolat ehsan Tuan Hj. Yahoo.com] |
.jpg) |
| Lepas pantang mesti pergi cari buku ini dengan Abinya [Gambar ihsan Tuan Hj. Yahoo.com]. |
Sekian, catatan dari hati supaya otak penulis sendiri tidak lupa. Senyum keamanan buat semua.
Wassalam WBT.
-------------------------------------------/--<@
Berminat menyertai mana-mana kelas seperti di bawah? Boleh e-melkan kepada saya di snurulhusnahashim@gmail.com
1. Kelas Asas Blog dan Penulisan2. Kelas Asas Blog dan Fanpage3. Kelas Beriklan di mudah.my4. Pra-daftar Kelas Penulisan Kreatif Bulan Disember