Showing posts with label Tugasan Kelas: Latihan Naratif. Show all posts
Showing posts with label Tugasan Kelas: Latihan Naratif. Show all posts

Monday, 2 November 2015

Tugasan 7: Latihan Naratif Berdasarkan Perkataan "Himpun"

Teks: Snh Nurulhusna


Tugasan 7 : Latihan Naratif Berdasarkan Perkataan.

2. 1/10/2015 - himpun


A. naratif latar masa

              Muzaffar mengerling jam tangannya yang sudah menunjukkan jam 11.00 malam. Sedari petang dia tiba di lapangan terbang itu namun sehingga sekarang kelibat Ustaz Rozali masih belum kelihatan. Dia sudahlebih daripada cuak. Jemaah lain yang tadinya berhimpun di ruang legar itu sudah masuk ke balai pelepasan setengah jam yang lalu. Adakah dia perlu bersabar untuk lima belas minit lagi?

B. naratif latar tempat

             Saat turun daripada van yang membawa kami daripada lapangan terbang sehingga ke Madinah Al-Munawwarah, aku cuba untuk membuka mataku luas-luas. Hotel-hotel dan bangunan-bangunan tinggi-tinggi belaka. Aku tunduk memerhati kota ini yang dahulunya bercahaya menjemput kedatangan Islam dan Rasulullah S.A.W., kini bercahaya dengan neon di malam hari. Tempat berhimpun tetamu-tetamu Allah S.W.T.

C. naratif latar masyarakat

             Selama ini aku membayangkan semua jemaah haji akan berhimpun tanpa mengira bangsa dan negara di Padang Arafah. Tulisan perkongsian daripada saudara Saiful Nang telah membuka mataku yang selama ini menyangka semua jemaah akan mendengar khutbah yang sama. Ternyata masing-masing berada di dalam khemah masing-masing mengikut kemampuan dan taraf sosial mereka.

D. naratif perasaan

            Aku cuba menghimpunkan perasaanku yang gembira, hiba, kerinduan bersama azam untuk beribadah dengan sepuas-puasnya. Jika diturutkan perangaiku yang agak gila-gila, sudah pasti aku akan bergolek dan memeluk segala yang boleh aku capai di sini. Air mata syukur bergenang dan hatiku akan kutinggalkan di sini.

E. dialog

           "Sungguh dalam maksudnya perkataan himpun bagi seteguk air Zam-zam bagi saya. Sebenarnya saya merasa amat dahaga tetapi saya tahankan dahulu dan teruskan dengan mendahulukan solat. Usai salam diberi, ada secawan air Zam-zam diletakkan di tepi saya. Allahuakbar, " kongsi jutawan muda Puan Felinna Nadea Ed Fattah.

Friday, 2 October 2015

Tugasan 7: Latihan Naratif Berdasarkan Perkataan 'haji'

Teks: Siti Nurulhusna binti Hashim

Tugasan 7 : Latihan Naratif Berdasarkan Perkataan.
1. 30/09/2015 - haji

A. naratif latar masa

              Aku masih ingat lagi waktu itu aku masih di darjah tiga. Sebulan lamanya emak menjahit jubah dan telekung untuk dibawa ke tanah suci. Kini, malam ini,  emak dan abah sudah mahu berangkat menyahut seruan haji, mengamanahkan kami adik-beradik untuk dipelihara Tok Lang.

B. naratif latar tempat

              Kami tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang. Sungguh canggih bangunan itu dengan lampu yang besar dan terang. Kaunter-kaunter kelihatan banyak sekali. Kerusi tempat menunggu masih belum cukup banyak untuk menampung jumlah ahli keluarga yang membanjiri hampir segenap ruang yang ada di sini. Tulisan dan sepanduk Lembaga Tabung Haji kelihatan di sana-sini untuk memudahkan jemaah haji membuat pendaftaran.

C. naratif latar masyarakat

              Abang Molee, sepupuku yang sudah biasa terbang ke serata pelusuk dunia segera mendapatkan troli beroda untuk emak dan abah meletakkan beg mereka yang lebih besar daripada tubuhku. Ini pengalaman pertama emak dan abah menaiki kapal terbang kerana kami bukanlah daripada keluarga yang senang-lenang walaupun emak ialah seorang guru. Kami dibesarkan dalam suasana kampung dan emak amat menitikberatkan amalan berjimat-cermat. Kejanggalan kami sekeluarga tidak begitu ketara kerana jemaah haji yang sudah siap dengan pakaian ihram lebih mencuri perhatian setiap orang di sini.

D. naratif perasaan

             Walaupun perasaanku sebak dan sedih sekali untuk melepaskan emak dan abah pergi menunaikan haji, aku tidak mampu berbuat apa-apa kerana aku hanyalah kanak-kanak. Urusan orang dewasa sudah tentu aku tidak boleh ikut campur. Berat sungguh perasaanku. Berbeza dengan adikku yang masih tidak mengerti apa-apa. Aku merenung wajah adik yang teruja melihat kerdipan lampu kapal terbang yang sedang bergerak di landasannya.

E. dialog

             "Mak, kenapa kami tak boleh ikut mak dan abah pergi haji?" soalku apabila aku berpeluang. Tangan emak kugenggam erat seolah-olah tidak mahu melepaskan emak ke mana-mana.