Tuesday, 25 July 2017

Jodohku Abang Zookeeper? Part II

Teks: Nurul Husna


Sesampainya di zoo, bas universiti segera berlalu pergi.

            “Haiii…koranggggg……” Anne menyambut ketibaan kami pagi itu dengan gaya diva. Dia memandu sendiri dari KL. Ah, Anne! Kadang-kadang dramatik juga dia ni. Semua sudah keletihan, maklumlah perjalanan dari Pantai Timur ke Selatan bukannya sejam dua. Ada yang sudah mati kutu; tidur-bangun-tidur-berdengkur-terkejut-tidur semula entah berapa pusingan.
            Hari sudah beransur terik. Matahari mula meninggi. Dia mengunjukkan sebuah banglo penginapan untuk kumpulan kami menginap selama di zoo. Ini yang paling selesa katanya. Bangga betul muka Anne.
            Sejurus masuk, kami semua terlopong. Dedaunan kering memenuhi ruang tamu, bilik-bilik yang berdebu dan dapur yang dipenuhi sayap kelkatu. Kena masuk dengan kasut. Rupanya seperti banglo tinggal. Sayang sekali kerana perabot-perabot masih baru, bantal dan tilam ada yang masih belum terbuka plastiknya. Mungkin kekurangan pekerja untuk menyelenggara banglo yang mempunyai reka bentuk moden ini.
            Baby sudah mula merengek. Dia berlari keluar. Alergi habuk katanya. Maka tinggallah kami dan kakak-kakak angkat seusia yang diangkatnya secara paksa-rela mencuci dan mengemas sekadar untuk kami melelapkan mata malam ini. Ada yang menyumpah-nyumpah, biasalah remaja. Sekejap menyumpah, sekejap ketawa, sekejap bertazkirah. Macam-macam hal. Sedikit pengakuan. Sebenarnya, akulah yang paling menyumpah kerana aku dan Sasha tercabut kertas undi untuk mencuci bilik keramat bagi mana-mana bangunan iaitu tandas. Tercabut undi. “Ter”. Ya, baiklah. Reda, itu jalan yang terbaik. Fikir-fikir biarlah kami yang mencuci. Biar sampai puas hati kami. Selepas ini, siapa ambil ringan kebersihan tandas, kami boleh panah seorang demi seorang. Kami ketawa jahat tetapi tutup mulut. Dalam tandas banyak bahaya daripada faedah. Besok kami akan sambung lagi. Dapur belum boleh beroperasi. Geli.
            Dapur masih lumpuh, jadi tiga orang perlu keluar untuk membeli makanan bersama-sama Anne. Baby termasuk sekali. Sekarang lima orang. Mujur kereta Anne besar boleh muatkan adik bongsu. Entah siapa punya adik belum dapat diperjelaskan. Yang selebihnya, harap maklum; membibik membasuh lantai pula. Semua kasut di’tai-chi’kan keluar dari dalam rumah. Sakan juga kami membasuh, hingga jaga pintu belakang zoo datang menjenguk. Dia fikir ada paip air yang pecah, rupanya ada kerja pembersihan. Dalam hati mesti suka. Ada sedozen dua anak gadis bakal menyerikan zoo. Semangat ini yang dia perlu.  
Lama juga mereka yang keluar membeli makanan. Mahu kering lantai dan air di halaman baru nampak kelibat. Nasi putih, ayam goreng kunyit dan kuah tom yam, sup tulang berkongsi seorang sedikit. Sedikit tidaklah sedikit juga. Ada yang makan seperti membela hantu raya. Biasalah; letih minda, letih mengerah tenaga dan letih melepak. Siapa yang letih melepak? Yang paling comel itu lah. Tetapi normal sebenarnya jikalau student kuat makan. Yang kurang makan itu yang luar biasa.
“Ko makan pe Baby, nak sikit?” Asfa mengagah.
“Nasik goreng Pattaya...ehh duit I sendiri tau…” Suara pun bergumpal-gumpal dengan makanan di dalam mulut. Baby, oh Baby!
Kami geleng-geleng kepala sahaja tengok hiburan di depan mata. Bimbang juga nak bersuka-suka keterlaluan. Siap-siap makan dan baca surah-surah pilihan, kami semua beransur ke bilik menjunamkan diri ke katil masing-masing. Aku dapat katil tingkat atas. Ah, gasaklah! Janji kena kipas. Berbunyi juga suara bagi yang resah menyesuaikan diri di tempat baru. Ada yang masih bergayut dengan kekasih di telefon bimbit. Baby sudah lama terbongkang, mungkin sudah merayau-rayau ke alam mimpi. Apa-apa pun, mata mesti dipejamkan. Hari ini terasa berlalu dengan pantas sekali. Hari esok bakal menjelma!


Monday, 24 July 2017

Bangkit Daripada Koma

Teks: Nurul Husna

Bismillah
Assalamualaikum WBT

Lama sudah saya tidak bersiaran, 2 tahun pejam celik pejam celik berlalu. Tuannya Alhamdulillah masih bernyawa, Cuma blog sahaja yang koma.


Maafkan saya wahai blog kesayangan. Saya akan cuba, cuba dan cuba lagi. Hingga kamu bernyawa semula.


Kalian masih mahu mendengar daripada saya? Doa-doakanlah ya.



Insha Allah. Amiin Amiin.