Showing posts with label Jodohku Abang Zookeeper?. Show all posts
Showing posts with label Jodohku Abang Zookeeper?. Show all posts

Tuesday, 25 July 2017

Jodohku Abang Zookeeper? Part II

Teks: Nurul Husna


Sesampainya di zoo, bas universiti segera berlalu pergi.

            “Haiii…koranggggg……” Anne menyambut ketibaan kami pagi itu dengan gaya diva. Dia memandu sendiri dari KL. Ah, Anne! Kadang-kadang dramatik juga dia ni. Semua sudah keletihan, maklumlah perjalanan dari Pantai Timur ke Selatan bukannya sejam dua. Ada yang sudah mati kutu; tidur-bangun-tidur-berdengkur-terkejut-tidur semula entah berapa pusingan.
            Hari sudah beransur terik. Matahari mula meninggi. Dia mengunjukkan sebuah banglo penginapan untuk kumpulan kami menginap selama di zoo. Ini yang paling selesa katanya. Bangga betul muka Anne.
            Sejurus masuk, kami semua terlopong. Dedaunan kering memenuhi ruang tamu, bilik-bilik yang berdebu dan dapur yang dipenuhi sayap kelkatu. Kena masuk dengan kasut. Rupanya seperti banglo tinggal. Sayang sekali kerana perabot-perabot masih baru, bantal dan tilam ada yang masih belum terbuka plastiknya. Mungkin kekurangan pekerja untuk menyelenggara banglo yang mempunyai reka bentuk moden ini.
            Baby sudah mula merengek. Dia berlari keluar. Alergi habuk katanya. Maka tinggallah kami dan kakak-kakak angkat seusia yang diangkatnya secara paksa-rela mencuci dan mengemas sekadar untuk kami melelapkan mata malam ini. Ada yang menyumpah-nyumpah, biasalah remaja. Sekejap menyumpah, sekejap ketawa, sekejap bertazkirah. Macam-macam hal. Sedikit pengakuan. Sebenarnya, akulah yang paling menyumpah kerana aku dan Sasha tercabut kertas undi untuk mencuci bilik keramat bagi mana-mana bangunan iaitu tandas. Tercabut undi. “Ter”. Ya, baiklah. Reda, itu jalan yang terbaik. Fikir-fikir biarlah kami yang mencuci. Biar sampai puas hati kami. Selepas ini, siapa ambil ringan kebersihan tandas, kami boleh panah seorang demi seorang. Kami ketawa jahat tetapi tutup mulut. Dalam tandas banyak bahaya daripada faedah. Besok kami akan sambung lagi. Dapur belum boleh beroperasi. Geli.
            Dapur masih lumpuh, jadi tiga orang perlu keluar untuk membeli makanan bersama-sama Anne. Baby termasuk sekali. Sekarang lima orang. Mujur kereta Anne besar boleh muatkan adik bongsu. Entah siapa punya adik belum dapat diperjelaskan. Yang selebihnya, harap maklum; membibik membasuh lantai pula. Semua kasut di’tai-chi’kan keluar dari dalam rumah. Sakan juga kami membasuh, hingga jaga pintu belakang zoo datang menjenguk. Dia fikir ada paip air yang pecah, rupanya ada kerja pembersihan. Dalam hati mesti suka. Ada sedozen dua anak gadis bakal menyerikan zoo. Semangat ini yang dia perlu.  
Lama juga mereka yang keluar membeli makanan. Mahu kering lantai dan air di halaman baru nampak kelibat. Nasi putih, ayam goreng kunyit dan kuah tom yam, sup tulang berkongsi seorang sedikit. Sedikit tidaklah sedikit juga. Ada yang makan seperti membela hantu raya. Biasalah; letih minda, letih mengerah tenaga dan letih melepak. Siapa yang letih melepak? Yang paling comel itu lah. Tetapi normal sebenarnya jikalau student kuat makan. Yang kurang makan itu yang luar biasa.
“Ko makan pe Baby, nak sikit?” Asfa mengagah.
“Nasik goreng Pattaya...ehh duit I sendiri tau…” Suara pun bergumpal-gumpal dengan makanan di dalam mulut. Baby, oh Baby!
Kami geleng-geleng kepala sahaja tengok hiburan di depan mata. Bimbang juga nak bersuka-suka keterlaluan. Siap-siap makan dan baca surah-surah pilihan, kami semua beransur ke bilik menjunamkan diri ke katil masing-masing. Aku dapat katil tingkat atas. Ah, gasaklah! Janji kena kipas. Berbunyi juga suara bagi yang resah menyesuaikan diri di tempat baru. Ada yang masih bergayut dengan kekasih di telefon bimbit. Baby sudah lama terbongkang, mungkin sudah merayau-rayau ke alam mimpi. Apa-apa pun, mata mesti dipejamkan. Hari ini terasa berlalu dengan pantas sekali. Hari esok bakal menjelma!


Sunday, 15 November 2015

Jodohku Abang Zookeeper? Part I

Teks: Nurul Husna



            Segarnya perasaan di Subuh hari begini. Mandi dengan gel mandian aroma lavender. Warnanya ungu, harum, lembut, tenang, nyaman seolah-olah bergolek-golek di atas hamparan bunga-bungaan lavender. Ingatanku diterpa wajah Asfa yang sudi berkongsi gel mandian ini waktu pertama kali kami menjejakkan kaki di zoo. Aku ini asalnya dari kampung di utara tanah air. Memang bermimpi jika aku hendak menggunakan gel mandian yang harganya boleh tahan mahal buat diriku yang masih bergelar pelajar. Jadi bau gel mandian yang istimewa ini memang terpahat dalam segenap sarafku hinggalah ke saat kisah ini ditulis. 

            Senyum aku dibuatnya terkenangkan hari-hari yang bagiku semuanya menarik untuk disimpan sebagai kenangan. Ada juga adegan air mata, tetapi kini semua itu indah bagi diriku dan aku yakin sahabat-sahabatku juga begitu. Niat di hati hendak sambung bermalas-malasan di atas katil. Namun, semangat untuk mengabadikan kenangan ini lebih kuat lagi. Lantas kuselak satu per satu halaman rindu udara yang kusedut bersama secebis ingatan.

            Masih aku ingat lagi, Anne teman sebilikku di Mengabang Telipot, beriya-iya mengajak dan berkempen agar kami menyertai program sukarelawan di zoo pada waktu cuti semester. Kebiasaannya dia keluar paling awal dan pulang paling lambat ke asrama. Mungkin dia kurang betah tinggal di bilik kami yang sempit dan semuanya bercakap dengan loghat utara. Tetapi bila difikirkan kembali, sebenarnya Anne ini seorang yang bercita-cita tinggi. Sangat tinggi. Segala-galanya harus sempurna. Sedikit berbeza dengan aku, Sasha dan Mekyan yang ada peel gila-gila dan redah ikut suka hati sahaja. 

           "Eh, korang jadi kan nak pegi volunteer program ni?" soal Anne sebaik sahaja salamnya kami sahut. Kasut pun masih belum ditanggalkannya. Dia melangkah masuk ke bilik persis peragawati ber'cat-walk' di pentas peragaan. Ah, Anne memang lawa orangnya. Ada pesona yang tersendiri.

            "Eh, korang dengar tak Anne tanya ni? Nama korang dah submit tau kat Prof. Rokiah, UK 8102, UK 8103 dan UK8104!" ujarnya tegas seraya nada suara sedikit mendesak. Selimut yang baru sahaja hendak ditarik terpaksa aku lupakan. Rasa mengantuk sudah tiada. 

             "Anne, ko biaq betui...cuti sem haritu aku tak balik kampung lah...please...aku takmau pi tau." Mekyan bersuara dari sebalik bantalnya. Anne diam sahaja sambil bersiap hendak ke bilik mandi. 

             "Wajib ka Anne?" soalku ringkas. Anne membalas dengan menganggukkan kepalanya. 

              Satu getaran kecil menandakan pesanan ringkas masuk ke telefonku. Sudah kujangka, pasti daripada Sasha. Biarpun sebilik, jika ada 'mesyuarat tingkap', kami mesti bijak gunakan teknologi.

              "Weh, hang nak pi ka? Macam mana ni? Kalau kita tak pi apa yang jadi?" soalannya bertalu-talu. Lalu segera kubalas,

              "Aku fifty-fifty la weh. Rasa malaih sungguh nak pi. Otak pikiaq nak balik ja ni!" 

              "Korang fikir masak-masak ye. Anne nak pegi mandi tau. Prof. Rokiah pesan, sesape yang tak nak pegi, nanti grad takde sijil, susah dapat keje," ujarnya lalu keluar dari bilik. Aduh, hendak korbankan waktu cuti melayan Pengurus Projek ini merebut jawatan Ketua Program Sains Biologi memang masaklah!

              Aku terjun dari tingkat atas katil double-decker itu. Sasha dan Mekyan sudah terpacak di atas katil masing-masing. Mata masing-masing membulat. 

              "Ha, hangpa dua pi tau. UK8103 tak boleh pi..sorry. Hangpa bincang dua na...cek tidoq dulu na." Mekyan tersengeh-sengeh sambil merejam kepala kembali ke bawah bantal meninggalkan kami yang tergaru-garu kepala, tangan, kaki, pipi dan dahi yang tidak gatal.

              Sasha mulai mundar-mandir memikir alasan dan aku pula berkungfu melempiaskan perasaan geram terhadap lab-coat Anne yang digantung di lokarnya.

              "Tak dapat tuan, baju pon boleh lah!" Itu cakap-cakap sisi kejahatan yang ada dalam diriku tetapi ciri-ciri malaikat cepat-cepat mengingatkan aku bahawa ada untungnya jika mencuba sesuatu yang baru. 

               Diringkaskan cerita, strategi dan cubaan membatalkan program ditepis bijak oleh Anne yang mendapat sokongan padu daripada Cik Rocky. Dalam pada mulut mencebik-cebik, terjuih-juih, siaplah juga beg kami kemaskan dan kesimpulannya kami pun berangkatlah ke zoo bersama-sama tiga belas rakan sekuliah yang lain dan kisah kami berempat pun bermula.

Kenangan Yang Tersemat Kukuh di Ingatan

Teks: Nurul Husna

Bismillah

Assalamualaikum WBT

Sudah lama saya ingin cuba berkongsi kenangan yang saya rasa amat istimewa buat diri saya dan para sahabat seperjuangan. Rasa ingin cuba membukukan kisah ini membuak-buak cuma masa dan kegagalan merancang meyebabkan idea ini selalunya saya letak dalam bakul MASUK tapi belum keluar-keluar.

Tetapi Allah SWT Maha Kaya, diberiNya kesempatan sewaktu rehat bersama anak-anak permata bangsa di dalam kelas, saya menconteng plot dan melakukan sedikit catatan.

Apa kisahnya yang istimewa sangat tu? Mungkin yang membacanya merasakan biasa-biasa sahaja, mungkin merasakan saya ini terkena kejutan budaya atau apa, tetapi saya yakin sekurang-kurangnya saya, sahabat-sahabat saya Shasha, Salmi, Asfa dan Cikgu Monalita Mansor mesti baca juga karya ini nanti! Gelak jahat sikit! Lima orang pembaca setia sudah ada, kita teruskan dari situ dan pejam mata buat sahaja.

Tajuknya yang kerapkali difikirkan ialah, Jodohku Abang Zookeeper? Saya bercadang ingin mengekalkan nama watak asal yang terlibat tetapi memandang sedikit adaptasi akan dilakukan, maka nama watak akan diubah sedikit. Semoga sahabat-sahabat mengerti dan memberi pandangan membina buat saya ya. Maklumlah, saya masih lagi merangkak-rangkak dalam Kelas Penulisan Kreatif yang dijalankan secara online ini.

Maka, saya keluarkan disclaimer manja untuk kisah ini:

'Jodohku Abang Zookeeper? ialah sebuah kisah  adaptasi daripada kehidupan sebenar empat sekawan. Nama watak telah disesuaikan kembali mengikut olahan dan kreativiti penulis.'

Belum pernah terbitkan apa-apa kecuali membukukan tesis akhir tahun dan laporan industri sudah pandai tulis disclaimer, aduhai. Melayan perasaan perasan sekejap.

Terimalah, link penuh kasih-sayang:

http://tamsilankehidupan.blogspot.my/2015/11/jodohku-abang-zookeeper-part-i.html

Hingga jumpa lagi. Senyum meleret.

Wassalam WBT