Friday, 6 December 2013

Banjir Juga RahmatNya, Fisabilillah

Teks: Siti Nurulhusna Hashim

Bismillah

Assalamualaikum WBT

Takziah saya ucapkan kepada mangsa-mangsa banjir di seluruh Malaysia tidak kiralah di mana sekalipun, ujian dan dugaan yang Allah SWT berikan tidak lain dan tidak bukan untuk menjadikan kita golongan yang lebih baik dari sebelumnya. Bertabahlah dan bersyukurlah di dalam kesempitan kerana banjir juga Rahmat Ilahi.

Sebesar-besar air bah, nampakkah kita Kasih Sayang Ilahi apabila seluruh rakyat berkobar-kobar ingin membantu sekalian yang di dalam kesusahan ini? Berapa ramai yang mendahulukan memindahkan wang di dalam akaun bank untuk mangsa banjir daripada pergi mendapatkan tas tangan yang baru di pasaraya? Berapa banyak persatuan amal yang muncul dan tidak kurang juga individu berhati mulia meredah daerah yang sejuk ini untuk menyampaikan bantuan. Maha Suci Allah yang mengatur segala kejadian di alam ini.

Di dalam lelehan air mata duka, terselit juga air mata gembira. Tahniah buat para mempelai yang meredah kesejukan demi membina masjid dan diharapkan gerbang pernikahan kalian membawa kepada Redha Allah SWT, Aamiinn. Pahala, pahala dan pahala, menjamu jemputan tatkala mereka sendiri juga adalah mangsa banjir.

Terpanggil saya menulis sedikit coretan ini adalah untuk menyentuh hati saudara-saudari sekalian agar melihat kepada semangat seorang rakan mukabuku saya ini. Beliau berpengalaman luas dalam menyampaikan bantuan kemanusiaan baik di dalam ataupun di luar negara. Telah banyak negara dan tempat yang beliau jejaki demi misi dan agenda yang mulia, Pattani, Gaza, Syiria. Banyak juga projek yang beliau usahakan untuk Jalan Allah seperti membantu mualaf, menyediakan Tafsir Al-Quran untuk masjid-masjid juga rumah, jualan amal dan banyak lagi. Walaupun beliau hanya saya kenali dan ikuti di alam maya, kelihatannya beliau amat istiqamah dan saya ingin membantu beliau dengan cara mewar-warkan kerja amal yang dilakukan oleh Saudara Nasir Nanyan ini.

Beliau merancang untuk ke Syiria membantu umat Islam di sana tanggal 20 Disember 2013 ini. Jualan amal telah beliau mulakan melalui laman Facebooknya. Dalam pada merancang untuk berjihad di perantauan, beliau terus cakna dengan mangsa-mangsa banjir dan menyeru warga mukabuku untuk turut membantu. Bagi kita yang mampu dengan wang ringgit, dermalah duit, bagi mereka yang punya kudrat, sumbangkanlah tenaga, pilihan masing-masing untuk menggunakan segala yang ada Fisabilillah. Maka mari kita hulurkan sedikit apa yang ada pada kita untuk dijadikan ibu rezeki kepada mereka yang memerlukan. Bantuan yang sedikit besar ertinya buat mereka. Tebarkanlah belas kasihan supaya Rahmat Tuhan senantiasa memayungi kita.

Kenali dan bantulah Saudara Nasir Nanyan dalam menyampaikan bantuan yang utama buat masa sekarang ialah kepada mangsa banjir di seluruh Malaysia dan juga Umat Islam di Syiria. Tuan-tuan dan puan-puan boleh hubungi beliau di 017-5477790 atau terus ke laman mukabuku milik beliau iaitu di https://www.facebook.com/nasir.nanyan?fref=ts.


Sekian,
Moga tinta ini diterimaNya sebagai Jariah. Amiinn.

No comments:

Post a Comment