Teks: Siti Nurulhusna Hashim
Bismillah
Assalamualaikum WBT
Syukur ke hadratNya, lahir juga blog Impian Ummi dan Abi ini. Alhamdulillah, saya kini bekerja dari rumah dan saya sangat-sangat bersyukur melakukannya di samping anak-anak dan sokongan suami yang amat-amat memahami. Walaupun sekarang beliau masih makan gaji, cita-cita Abi saya dokong dan Insha Allah kami akan berusaha merealisasikannya.
Impian Ummi dan Abi merupakan diari eksplorasi Ummi, Abi dan anak-anak; yang saya lebih selesa bahasakan diri mereka dengan Si Abang dan Si Adik ataupun Abdullah dan Lina. Sedikit paparan pendapat mungkin juga akan diterbitkan di sini. Dalam jangkamasa panjang, harapan saya semoga catatan ini turut menjadi kenangan buat Abdullah dan Lina bila dewasa nanti. Idola Ummi dan Abi sekarang ialah Şehıdımız Ahmad Ammar Ahmad Azam. Besar sungguh impian kami wahai anak-anak, semoga Allah SWT menunjukkan jalan dan mempermudahkanNya. Aamiinn.
Walaupun penulisnya ialah saya sendiri (Ummi), ia mewakili hasrat hati suami saya (Abi) juga. Biarlah blog yang ringkas ini memaparkan pengkisahan kami dalam mencorak anak-anak. Oh ya, sebelum saya terlupa, ingin saya tegaskan di sini, Blog Impian Ummi dan Abi ini hanyalah perkongsian, tidak bermakna kami mahu orang lain bersetuju dan memaksa para ibu-bapa menggunapakai pendapat yang diutarakan di sini. Masing-masing punya cara tersendiri dan kami percaya kepada asas hormat-menghormati sesama kita makhluk Tuhan.
Para pembaca dipersilakan memberi komen dan pandangan sekiranya ada yang tergerak di hati dengan harapan semuanya berguna di dalam perjalanan kami mendidik zuriat. Tidak ada yang lebih penting bagi kami selain anak-anak kami ini kekal dalam nikmat Islam, mendirikan Solat dan beramal dengan ajaranNya. Besar harapan kami agar semua ini menjadi asas dan tonggak kejayaan mereka di dunia dan di akhirat. Semoga kita berhasil mencorak anak-anak seperti apa mahunya, Insha Allahuta'ala.
Sekian,
Tiada yang lebih manis melainkan doa anak yang soleh/ solehah.
Wassalam.
No comments:
Post a Comment