Showing posts with label Perjuanganku. Show all posts
Showing posts with label Perjuanganku. Show all posts

Saturday, 4 January 2014

Menyuap Ego

Teks: Snh Nurulhusna

Bismillah

Assalamualaikum WBT

Saya bukan pakar kanak-kanak jauh sekali pakar psikologi, emak yang hendak tunjuk super atau apa saja, TETAPI saya kenal benar anak-anak saya. Saya TIDAK biasakan mereka dengan geletekan dan menyentuh/meraba/menarik/mencuit/menjemput/menggosok, meng-uli mereka di tempat-tempat sensitif. Pelukan dan ciuman adalah yang selalu diamalkan.

Untuk penjelasan, sebagai orang yang lebih dewasa rasanya kita telah sedia maklum tempat-tempat mana yang dikategorikan sebagai tempat sensitif. tempat mana yang geli, tempat mana yang 'geli'. Bahkan hendak membasuh kencing berak anak-anak ini saya minta izin daripada mereka walaupun masih tidak tahu berbahasa (bukan hendak tunjuk saya suci). Saya memang 'psiko' kerana menganggap mereka ini 'tidak mampu' jadi tanggungjawab saya sebagai orang tua tolong basuhkan najis mereka hingga mereka terbit akal dan mampu untuk melakukannya sendiri.

Yang menariknya, anak-anak saya MAMPU ketawa jika sekadar diacah, diagah biarpun tiada sentuhan/perlakuan yang menyebabkan mereka GELI. Sekiranya anda fikir anak-anak saya mampu untuk ketawa disebabkan geletekan anda, makanya perbuatan anda itu tidak terpakai buat anak-anak saya bahkan bakal menyebabkan mereka mengamuk dengan teruk. Saya tahu kerana saya bersama mereka bukan anda. Biar saya terangkan lagi semoga lebih jelas dengan contoh ini:

1) Kita sabun anak kecil dan menyapunya ke seluruh badan termasuk tempat sulit semasa memandikannya dan kemudian menyapunya lagi untuk membersihkan sabun dan dirinya. INI PATUT.

2) Semasa menyabun tiba-tiba terasa geram melihat n*n*n/ punggung/ alat sulit anak kecil itu, lalu kita picit/tekan/cubit sekali/banyak kali di situ. INI TIDAK PATUT.

Sekali lagi, perlakuan apapun, jikalau disertai dengan 'kegeraman' itu: TIDAK PATUT. Yang melakukannya sahaja yang tahu. itu rahsia dia dengan DIA. untuk memahamkan rahsia hati itu, mohonlah pada Dia, Dia yang Memiliki segala rahsia.

Ingin dijelaskan di sini, saya ingin anak-anak saya membesar menjadi anak-anak yang tahu erti memelihara kehormatan diri. Jikalau sedari kecil terbiasa disentuh dengan sesukahati, apabila besar bagaimanakah pula runtunan meminta disentuh di sana dan di sini? Usah memandai-mandai mengaktifkan deria yang menerbitkan nafsu, jikalau anda/ anak sendiri suka diperbuat/melihat orang lain contohnya: menarik-narik 'n*n*n/ t*t*k' , itu terpulang tetapi bukan saya. Maaf. Hatta tubuh badan yang bergelar mayatpun perlu kita mohon izinnya untuk dimandikan dan mohon maaf daripadanya sebelum dibasuh di tempat-tempat sulit, inikan pula yang bernyawa, insan kecil yang perlu dilindungi dan diasuh dengan penuh tanggungjawab dan hormat.

Seronok dan lega setelah melepaskan geram terhadap bayi dan kanak-kanak? Sebelum nafsu yang terbit itu dilempiaskan terhadap mereka, eloklah beristigfar, jika tidak boleh, esok puasa sahaja. Mereka permata hati, kain putih, rezeki, anugerah dan adakah sesuai melayan mereka untuk melepaskan 'dendam' nafsu yang bangkit tidak mengira masa kita itu? Sebenarnya mereka ini lebih sensitif daripada kita orang dewasa yang telah kayu deria rasanya. Jika bayi sekecil-kecilnya tahu 'rasa' duduk di ribaan ibu ataupun orang yang bukan ibunya, mana mungkin mereka TIDAK RASA APA-APA jika dicuit di n*n*nnya? Kenapa boleh pula terluak jika terkena disitu? Itu jika tidak sengaja terkena, ini jika SENGAJA DIULI, mana tidak termuntahnya anak itu? Saya akan perjuangkan isu ini, biarpun lambat, biarpun ramai yang akan termengkelan, tercekik, marah dan memulaukan saya, tidak mengapa.

Hal ini tidak ada di dalam al-Quran? belum juga terbit dari tulisan sarjana-sarjana barat. benar, saya tidak nafikan, begitu juga dengan hukumnya merokok dan menagih dadah, juga tidak tertulis di dalam al-Quran tetapi telah disahkan sebagai HARAM. Sarjana barat? ""Gaya, mutu, keunggulan"" mereka ini telah mencilok dan menyorokkan apa yang baik dan didedahkan hanya cukup untuk buatkan mereka nampak terpelajar dan menjadi ikutan dunia tetapi lain pula yang diamalkan mereka. "Relakslah, orang ****** semua buat begitu" Ops, maaf saya Orang Islam, saya tidak ikut orang ******.

Isu ini dipandang sepi, entah mungkin terlalu berat, terasa, pernah melakukan atau pernah alami sendiri. Sukar dibincangkan kerana kita begitu 'segan' atau 'malu' bicara berkaitan nafsu. Bicara sahaja telah meleleh air liur, bagaimana pula jika kena/terkena/mengena? jikalau gadis/ teruna atau kita yang dewasa yang disentuh secara tidak hormat ini, satu laporan polis boleh dibuat, bagaimana pula dengan bayi dan kanak-kanak yang tidak pandai berkata-kata? Orang dewasa yang berakal, yang belajar tinggi-tinggi, yang berpengalaman dengan kanak-kanaklah yang perlu melindungi tetapi seronok pula melihat golongan yang tidak berdaya ini menggeletis kemudian mengamuk untuk mengadu kepada ibubapanya namun tidak pandai melontar bicara. Jikalau mungkin mereka TIDAK MERASA APA-APA, berkemungkinan juga MEREKA MERASA APA-APA.

Pernah dengar ibu-bapa mengeluh, susahnya hendak tidurkan anak. DI RUMAH PENGASUH/ dengan bibik, MUDAH pula lena. Fikirlah positif hingga yang terburuk tertayang di hadapan mata sendiri. Nasihat yang masuk ke dalam kepala saya, "Budaya orang tidak sama" "Budak mungkin tidak rasa apa-apa" "Jangan fikir lebih-lebih", " Bukan kena rogol pun" ataupun ketawa terbahak-bahak mendengar perihal ini. Pernah sampai ke telinga ini, anak kecil yang tidak berdosa lena terkulai kerana dihisap di tempat sulitnya oleh pengasuh yang 'mempunyai budaya yang tidak sama' dengan kita, tetapi sangat sukar ditidurkan oleh ibubapanya sendiri. Oh, MUNGKIN ANAK KECIL ITU TIDAK MERASA APA-APA.

Itu isu jika anak kecil yang diperlakukan begitu, namun jika remaja pula yang diraba, yang digeletek dikatakan pula bergurau. Dimarahnya kita katanya 'tidak sporting' 'tidak open' 'hati kotor'. 'Kecil-kecil dulu masa orang lain basuhkan berak tak apa pula' Astagfirullahal'azim. Sesungguhnya kefahaman itu dariNya jua.

Jika kita yang terkena begini, boleh kita suarakan dengan berlapik atau cakap biar si pelaku faham dan faham serta faham. Memang berulang-ulang perlu dinyatakan, kalau tidak berbelas kali mungkin berpuluh kali saya tidak pasti kerana ada yang faham cakap berlapik, ada yang perlu dinyatakan secara terang-terangan dan ada yang perlu terpukul dengan kata-kata baru timbul kesedaran biarpun hanya menayangkan drama di hadapan kita di belakang tetap begitu. Itu dia dengan Allah SWT. Saya berusaha sedaya upaya, dan yang tetap ingin perkara ini berlaku hanya Dia dan pengajarannya buat saya. Mungkin perlu tambah dos.

Saya menulis demi Allah SWT dan saya terima kata-kata "sudah gila" dan "berkawan dengan syaitan" itu dan semoga Allah SWT jualah yang menilainya. Malam ini saya hadap 'tantrum' dengan pengalaman yang ada. Terima kasih buat yang membantu saya membajak pahala. Al-Fatihah.

Sekian,

Wassalam.


=================================

Penulis menulis demi hak bayi dan kanak-kanak.

Tuesday, 3 December 2013

10 Keegoan Ibubapa yang Membawa Bencana

Teks: Siti Nurulhusna Hashim

Bismillah

Assalamualaikum WBT

Melihat kepada tajuk entri kali ini, ternyatalah isu yang akan dibincangkan adalah serius. Saya bukanlah pakar psikologi, penceramah motivasi, doktor jauh sekali seorang ustazah untuk membuatkan sesiapa mengambil buah fikiran saya sebagai garis panduan. Apa yang saya tulis tidak lain tidak bukan untuk peringatan saya sendiri dalam mendidik anak-anak. Sementelahan mata tidak mampu lelap; mungkin banyak minum kopi siang tadi.

Sedari kecil anak membesar dalam pangkuan ibu dan ayah. Pelbagai jenis dan teknik mendidik anak-anak kita guna pakai untuk membentuk mereka menjadi apa yang kita hasratkan. Dewasa kini, masyarakat lebih terbuka untuk mendidik anak mengikut kekuatan dan minat anak itu sendiri dan ibu bapa berfungsi sebagai pendorong dan memudahkan anak-anak mencapainya. Untuk menjadi pemudah cara rupanya bukan mudah seandainya ada beberapa perkara kecil yang kita terlepas pandang atau tidak kisah untuk mengelakkannya.

Umum mengetahui tindakan dan kata-kata yang kasar yang disampaikan secara langsung ('direct') boleh menjadikan seorang kanak-kanak menjadi kasar dan agresif apabila meningkat dewasa. Kemarahan yang disampaikan oleh seorang yang sihat tubuh badan dan akal fikiran sepatutnya berhemah dan berhikmah. Kesabaran dalam membetulkan kesalahan anak-anak adalah penting dan amat penting juga untuk membendung kemarahan itu supaya tidak disampaikan kepada anak secara 'halus' atau tidak langsung  ('indirect') seperti di bawah:

1. Usahlah diceritakan hukuman / denda yang diberi kepada anak-anak di rumah. Apa yang berlaku bila ahli keluarga besar berkumpul, semestinya masing-masing teruja hendak menyampaikan berita dan perkembangan terkini keluarga kecil masing-masing. Masak apa, buat apa, anak dapat nombor berapa dalam peperiksaan dan macam-macam lagi. Ada yang seronok menceritakan anaknya baru lepas kena pukul dengan ayah, baru lepas kena marah dengan ibu; langsung berkongsi kata-kata dan cara anak dibedal dengan ahli keluarga yang lain. Ingatlah bahawa kita bukan hendak mendidik ibubapa lain, tetapi ingin mendidik anak-anak. Jika sudah terlepas dan tidak mampu mengawal marah, usahlah berbangga menceritakan kelemahan sendiri pula kepada orang lain. Lebih malang lagi jika si anak berada di tempat yang sama. Sudah tentu tertanam perasaan kecewa kerana dimalukan oleh ibubapa sendiri.

2. Masih dalam situasi yang sama; dalam kemeriahan sanak-saudara berkumpul ramai-ramai. Tiba-tiba ada pula yang memuji anak sendiri. Alih-alih ibu dan ayah berusaha merendahkan anak-anak di hadapan orang lain. Mungkin niatnya untuk merendah diri namun ianya seperti 'berpesan' kepada anak kita yang mereka langsung tidak ada peluang menjadi yang terbaik. Sudahnya anak-anak menghasilkan pencapaian yang cukup-cukup makan sahaja dalam apa jua bidang yang diceburi.

3. Tidak kurang juga yang kagum dengan kepandaian dan kepetahan anak-anak dalam berkata-kata. Akan tetapi kepetahan itu tidak berharga sekiranya anak-anak tidak berani atau tidak mahu mengaku salah dan meminta maaf. Anak-anak manja ini bukan sahaja memberontak jika tidak dituruti kemahuannya malah meletakkan kesalahan sendiri kepada orang lain. Ibubapa yang malas mengalihkan perhatian anak yang memberontak kerana ditegur kesalahannya ini lambat-laun akan menjadi letih dan  lebih kusut malah memualkan orang lain di akhirnya akibat kedegilan dan sikap anak yang keras kepala melampaui batas. Oleh itu, usah tertunduk-tunduk meminta maaf kepada anak di atas kesalahan yang anak lakukan kerana ia hanya membuatkan anak berpotensi besar menjadi insan yang ego, penting diri dan mengada-ngada.

4. Adat bila berkunjung ke kedai mahupun pasaraya dengan anak-anak; mesti semuanya teruja hendakkan sesuatu. Jikalau kepada sebahagian anak boleh dibelikan barang mainan yang diminta, usahlah dikecewakan seorang anak yang meminta alatulis. Jikalau anda rajin memerhati gelagat manusia, perhatikan rombongan ibuayah ke pasaraya, pasti ada segelintir dimana seorang anaknya mencuka dan yang lain tersengih seperti kerang busuk mendapat mainan. Yang dipersoalkan bukan kemampuan kewangan penjaga tersebut tetapi kemampuan berlaku adil dan kebolehan membuatkan anak-anak bertolak ansur sesama sendiri dan menyedari ada di antara mereka juga mungkin perlukan sesuatu. Seorang anak mungkin tidak faham duit yang dibawa tidak mencukupi tetapi sudah tentu menahan sebak kerana melihat mainan boleh dibeli namun set geometri tidak ditunaikan. Tepuk dada, tepuk kepala ingati kembali seandainya kita pernah pilih kasih dan menyuap ego anak-anak kita. Persoalannya, benarkah tidak cukup duit, atau anak itu tidak layak di sisi kita?

5. Anak-anak yang egonya selalu kenyang akan ada sifat yakin diri yang negatif. Mereka pasti tidak akan dimarahi kerana tahu mereka disokong walau berkelakuan buruk terhadap yang lain. Saya pernah melihat situasi dua orang kanak-kanak lelaki mengheret saudara perempuan mereka yang juga kanak-kanak. Seorang memegang kedua-dua tangan dan seorang menekan kaki kanak-kanak malang itu dan memperlakukan seperti ingin memperkosa. Yang mendatangkan perasaan kecewa ialah ibunya bersorak di muka pintu menyokong pembulian yang dilakukan. Ya benar, mereka masih berpakaian namun tingkahlaku tersebut pasti mendatangkan trauma kepada si anak perempuan tadi.

6. Memotivasikan anak-anak usahlah sekerat jalan. Yang lain dibanggakan dan sebahagian kita beri gelaran. Cuba bandingkan kedua-dua gelaran ini: Anak Ayah dan Singa Lapar; yang manakah lebih sedap didengar? Tidak adakah nama yang lebih baik contohnya nama anak itu sendiri untuk kita panggil dan ulang-ulang setiap hari? Bergurau adalah alasan di mulut dan perasaan yang disertakan semasa gurauan itu akan sampai dan difahami oleh si anak. Usahlah menipu diri sendiri dengan menafikan kita telah menyertakan rasa marah dan letih dalam mencipta dan menyampaikan gelaran kepada si anak yang kita tidak ingini. Saidina Umar RA pernah menempelak seorang bapa yang memanggil anaknya dengan gelaran yang buruk.

7. Seseorang anak itu haruslah difahamkan tentang kedegilan dan kesalahannya dengan hikmah dan memulaukan anak itu lantas mewujudkan geng dalam rumah sendiri adalah tindakan keanak-anakkan. Ini menghasilkan anak yang pandai mencela; mencela orang di dalam kesusahan bagi suatu pihak dan mencela orang-orang yang bernasib baik bagi suatu pihak yang lain. Hasilnya sama juga wahai ibuayah, anak-anak yang pesimis sedar atau tidak sedar. Kenapa tidak ajarkan sahaja anak-anak menjadi rakan sebaya yang boleh dicontohi oleh yang bersalah tadi? Ia ternyata lebih baik daripada menghasilkan satu pasukan mengejek dan bersorak-sorai mengetawakan kesilapan orang lain.

8. Hal yang ramai tidak mahu bicarakan bila diperkatakan ialah hukuman terhadap anak dengan berbuat kasar di tempat sensitif/ sulit untuk menyatakan marah. Jikalau anda pernah melakukannya, usah berdalih dengan menyatakan itu hanya gurauan sebaiknya bertaubat dan meminta maaf sahaja. 'Gurauan' yang sama berulangkali mungkin bukan lagi gurauan. Sekali lagi, rasa marah itu sampai kepada anak dan daripada menurut kata-kata anda, mereka sebaliknya menanam rasa benci dan tidak percaya kepada ibubapa sendiri. Selepas itu kita tertanya-tanya kenapa anak-anak sekarang sudah pandai menghampiri zina. Kalaupun tidak, anak-anak mungkin membesar dengan jiwa yang kosong. Jiwa kosong atau jiwa koyak-rabak? Mungkin benar ia menjadi kebiasaan bagi sesetengah kaum, namun bagi kita orang Islam, adakah ada yang lebih baik selain daripada ajaran Islam sendiri? Nabi SAW mengajar kita supaya memukul di bahagian lutut ke bawah. Nauzubillahiminzaalik. Benar ia tidak ada di dalam Al-Quran, samalah juga seperti rokok, juga tidak disebut perkataan rokok dan perlakuan menghisap asap rokok berkepul-kepul di dalam Al-Quran, namun hakikatnya hukumnya HARAM.

9. Mohon maaf diatas kesilapan yang dilakukan. Ya benar, kita bukan malaikat. Kita pernah terlepas kawalan amarah menengking anak dengan suara yang tinggi. Kita pernah berbuat yang tidak kena pada mereka, namun tiada yang lebih besar dari sebuah kemaafan. Adakah menjadi seorang ibu atau bapa menghalang kita dari meminta maaf? Salah satu cara mendidik anak menjadi seorang yang pemaaf ialah dengan memohon maaf. Jikalau ego dan malu masih terlau tebal, boleh gunakan Teknik Schinida untuk 'bersemuka' dengan anak. Lakukan perkara ini jika kita bersalah dan jika tidak ia akan seperti yang diterangkan di nombor 3 di atas.

10. Akhir sekali dan tidak kurang pentingnya ialah latih diri menjadi pendengar setia dan cuba memahami cerita anak.Jikalau orang lain, boleh mereka hendak mendengar sahaja, tetapi ibu dan ayah dan darah daging sendiri kenapa tidak? Usah ditengking atau mengenakan mereka kembali ketika mereka mengadu sesuatu. Dengar dahulu situasinya, usah potong cakapnya, kelak biadap jadinya. Dan jikalau anak kita yang bersalah, nasihati dengan berhikmah dan bukan ceramah membangga diri dan memberitahunya kita tidak pernah buat.kesalahan yang serupa. Ini menambahkan jurang dan menjejaskan kredibiliti untuk menasihati kerana anak beranggapan anda tidak faham situasinya malah ingin berperang pula dengannya.

Perkara-perkara kecil di atas adalah hal yang menjejaskan emosi atau lebih teruk boleh membuatkan jatidiri anak-anak tersebut hilang lantas menjadikannya tergapai-gapai tanpa pencapaian dalam hidup. Pesan saya, usah malu jika pernah berbuat perkara seperti di atas, kuncinya ialah keampunan dari Allah dan tidak salah mengaku salah kepada anak-anak yang menjadi amanah dariNya. Moga mujahadah kita keluar dari kebutaan sifat ego boleh memberi sinar baru kepada anak-anak yang luka hatinya. Pesan saya, usahlah menggoncang dunia dengan bencana, rawat yang sudah terbuat, cegah sebelum terlambat. Laa ila ha illa anta, subhanaka inni kuntu minazd zolimiin.

Sekian,

Sekadar perkongsian, jauh sekali nak tunjuk pandai

Wassalam WBT

-------------------------------------------------------


Anda ada pendapat mahu diutarakan? Kongsikan ilmu kepakaran anda dan ceritakan pengalaman atau perniagaan anda kepada pembaca melalui penulisan blog. Kelas Asas Blog dan Penulisan, Kelas Asas Blog dan Fanpage juga Kelas Beriklan di Mudah.my sentiasa bersiaran. Promosi yuran pada harga RM200.00. Maklumat mengenai kelas boleh dirujuk di sini. Beriklan juga semakin mudah dengan pakej serendah RM50.00. Mahu tahu butiran pakej pengiklanan? Sila klik di sini. Teruja mahu tahu cara memulakan blog sendiri? Sila daftar di sini