Saturday, 7 December 2013

Peristiwa Penting dalam Bulan Muharram - Salam Tahun Baru 1435H

Teks: Siti Nurulhusna Hashim

Assalamualaikum WBT

Alhamdulillah, syukur yang tidak terhingga kepada Allah SWT kerana diberi kesempatan bernafas setahun yang lalu dan masih lagi bernafas di ambang tahun baru 1435H. Hati rasa berbunga-bunga dapat mengaminkan bacaan doa akhir dan awal tahun yang dibaca emak dan ayah sambil meriba si adik LK. Celik sahaja matanya, sambil senyum-senyum mungkin dia pun teruja macam umminya juga.

Abi dan abang kecil di rumah sewa dan mereka membaca doa dari sana. Walau dimanapun berada, ianya bukan penghalang untuk menyatakan rasa syukur dan pengharapan kepada Allah SWT. Moga amalan kita tahun lepas diterima, diredhai dan diberiNya Rahmat untuk kehidupan yang berkat di tahun baru ini.

Kalendar Qamariah telah digunakan secara turun-temurun oleh Orang Arab dan pada Zaman Pemerintahan Khalifah Umar Al-Khattab R.A, beliau telah menentu-sahkan penggunaannya dan menetapkan 1 Muharram sebagai hari pertama dalam Kalendar Hijri berdasarkan keistimewaan bulan yang dipanggil Bulan Haram oleh orang Arab ini. Lantaran banyak peristiwa penting dan besar berlaku tanggal 10 Muharram atau hari yang juga dinamakan 'Hari Asyura' ini, maka bulan Muharram dipilih sebagai bulan pertama kalendar Hijrah. Nama Hijrah dipilih kerana peristiwa besar dalam sejarah kenabian ialah Hijrah Rasulullah SAW dari Mekah ke Madinah.

Peristiwa-peristiwa penting tanggal 10 Muharram ini adalah seperti di bawah: 
1. Taubat Nabi Adam diterima oleh Allah
2. Nabi Idris diangkat oleh Allah ke langit.
3. Nabi Nuh diselamatkan Allah keluar dari perahunya sesudah bumi ditenggelamkan selama 6 bulan
4. Nabi Ibrahim diselamatkan Allah dari pembakaran Raja Namrud
5. Allah menurunkan kitab Taurat kepada Nabi Musa
6. Nabi Yusuf dibebaskan dari penjara
7. Penglihatan Nabi Yaakob yang kabur dipulihkkan Allah
8. Nabi Ayub dipulihkan Allah dari penyakit kulit yang dideritainya
9. Nabi Yunus selamat keluar dari perut ikan paus setelah berada di dalamnya selama 40 hari 40 malam
10. Laut Merah terbelah dua untuk menyelamatkan Nabi Musa dan pengikutnya dari tentera Firaun
11. Kesalahan Nabi Daud diampuni Allah
12. Nabi Sulaiman dikurniakan Allah kerajaan yang besar
13. Hari pertama Allah menciptakan alam
14. Hari Pertama Alllah menurunkan rahmat
15. Hari pertama Allah menurunkan hujan
16. Allah menjadikan ‘Arasy
17. Allah menjadikan Luh Mahfuz
18. Allah menjadikan Malaikat Jibril
19. Nabi Isa diangkat ke langit.

Oleh kerana terjadinya peristiwa-peristiwa yang mencerminkan kegemilangan bagi perjuangan yang gigih dan tabah dari menegakkan keadilah dan kebenaran dalam bulan Muharram ini, maka amalan berpuasa sunat adalah digalakkan kepada umat Islam. Antara mafhum Hadith Nabi SAW:

Sunat berpuasa pada Hari ke-Sepuluh.
Al-Imam at-Tarmizi telah meriwayatkan dari Abu Qutadah bahawa Rasulullah sallallahu alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: "Berpuasa pada hari 'Asyura akan termasuk dalam hitungan Allah bahawa puasa itu akan menutup dosa setahun sebelumnya".

Sunat berpuasa di Bulan Muharram
Kelebihan berpuasa di bulan Muharram sebagaimana diriwayatkan oleh al-Imam Muslim dari Abu Hurairah RA, Rasulullah sallallahu alaihi wasallam bersabda:
"Puasa yang utama (afdal) sesudah Ramadan ialah puasa di bulan Muharram".

Akhir kata, Selamat Menyambut Tahu Baru Hijrah 1435, Semoga Tahun Ini Lebih Berkat dari Sebelumnya buat kita semua. Aaamiiinn! Ampun dan maaf saya pinta buat keluarga, kenalan dan sahabat kerana diri ini tidak lari dari kesilapan.

Ehsan: Sheikh Google al-Imej
sila jengah juga entri berikutnya di http://sitinurulhusnahashim.blogspot.com/2013/11/checklist-perkara-sunat-pada-hari-asyura.html Terima Kasih daun keladi. :)

Sekian.

Wassalam wbt.

-----------------------------------------------------------------------------------------------

Rujukan: 


No comments:

Post a Comment