Tinta Penulis

Teks: Snh Nurulhusna

Bismillah

Assalamualaikum WBT

Blog Tentang Masa ini ialah untuk saya merekodkan karya penulisan kreatif.

Masih terkenang akan rakan karib semasa di tingkatan menengah rendah yang asyik berkepit dengan 'Kamus Dewan'. Zaman 'ranggi' di sekolah berasrama itu memang sukar dilupakan kerana jikalau ada yang tidak kena, kata-kata yang dihamburnya memang tak tercapai dek akal kerana bahasanya bahasa kamus. Kata-katanya bombastik hingga yang dimarahinya bukan setakat tidak sempat hendak membalas tetapi terus kehilangan kata-kata. Berkawan dengan Ulat Kamus ini sedikit sebanyak memberi tempias kepada saya untuk turut meminati eksplorasi bahasa jiwa bangsa.

Insha Allah melekat kuat dalam ingatan, guru yang saya rindui, Cikgu Harison Hassan yang mengajar Bahasa Melayu; di mana pendedahan beliau tentang 'Bahasa Melayu' ini buat saya terlopong. Buku latihan yang sangat cantik dan penuh keilmuan yang dicurah oleh beliau tidak beliau pulangkan (mungkin menjadi evidens dan bukti kepada teknik pengajaran Bahasa Melayu yang sangat menarik) masih menjadi ralat kepada saya. Saya memang sayangkan buku-buku latihan tersebut.

Selepas Kitab Suci, dalam carta pembacaan saya gemarkan cerita 'thriller' dan adaptasi sejarah ketika bersemangat, romantik ketika gembira dan komedi ketika keletihan. Antara majalah yang selalu mendapat perhatian saya ialah Mingguan Wanita dan buku-buku berkaitan kesihatan, motivasi, perniagaan. Jikalau berkelapangan, saya akan mengorek buku-buku lama milik ayah dan emak untuk dibaca yang kebanyakannya biografi tokoh-tokoh dan kisah pedoman. 

Semoga Allah SWT Reda. Amiin.

Sekian, 

Wassalam WBT







----------------------------------------------------------


Semua catatan/ karya tulisan di sini adalah untuk manfaat semua dan untuk menggunakan segala isi kandungan blog ini, puan-puan dan tuan-tuan bolehlah menulis rujukan/ kredit untuk 'Blog Tentang Masa', penulis 'Snh Nurulhusna'. Terima Kasih.

No comments:

Post a Comment