Showing posts with label Pengenalan. Show all posts
Showing posts with label Pengenalan. Show all posts

Thursday, 2 January 2014

Tinta Penulis

Teks: Snh Nurulhusna

Bismillah

Assalamualaikum WBT

Blog Tentang Masa ini ialah untuk saya merekodkan karya penulisan kreatif.

Masih terkenang akan rakan karib semasa di tingkatan menengah rendah yang asyik berkepit dengan 'Kamus Dewan'. Zaman 'ranggi' di sekolah berasrama itu memang sukar dilupakan kerana jikalau ada yang tidak kena, kata-kata yang dihamburnya memang tak tercapai dek akal kerana bahasanya bahasa kamus. Kata-katanya bombastik hingga yang dimarahinya bukan setakat tidak sempat hendak membalas tetapi terus kehilangan kata-kata. Berkawan dengan Ulat Kamus ini sedikit sebanyak memberi tempias kepada saya untuk turut meminati eksplorasi bahasa jiwa bangsa.

Insha Allah melekat kuat dalam ingatan, guru yang saya rindui, Cikgu Harison Hassan yang mengajar Bahasa Melayu; di mana pendedahan beliau tentang 'Bahasa Melayu' ini buat saya terlopong. Buku latihan yang sangat cantik dan penuh keilmuan yang dicurah oleh beliau tidak beliau pulangkan (mungkin menjadi evidens dan bukti kepada teknik pengajaran Bahasa Melayu yang sangat menarik) masih menjadi ralat kepada saya. Saya memang sayangkan buku-buku latihan tersebut.

Selepas Kitab Suci, dalam carta pembacaan saya gemarkan cerita 'thriller' dan adaptasi sejarah ketika bersemangat, romantik ketika gembira dan komedi ketika keletihan. Antara majalah yang selalu mendapat perhatian saya ialah Mingguan Wanita dan buku-buku berkaitan kesihatan, motivasi, perniagaan. Jikalau berkelapangan, saya akan mengorek buku-buku lama milik ayah dan emak untuk dibaca yang kebanyakannya biografi tokoh-tokoh dan kisah pedoman. 

Semoga Allah SWT Reda. Amiin.

Sekian, 

Wassalam WBT







----------------------------------------------------------


Semua catatan/ karya tulisan di sini adalah untuk manfaat semua dan untuk menggunakan segala isi kandungan blog ini, puan-puan dan tuan-tuan bolehlah menulis rujukan/ kredit untuk 'Blog Tentang Masa', penulis 'Snh Nurulhusna'. Terima Kasih.

Friday, 6 December 2013

Impian Ummi dan Abi

Teks: Siti Nurulhusna Hashim

Bismillah

Assalamualaikum WBT

Syukur ke hadratNya, lahir juga blog Impian Ummi dan Abi ini. Alhamdulillah, saya kini bekerja dari rumah dan saya sangat-sangat bersyukur melakukannya di samping anak-anak dan sokongan suami yang amat-amat memahami. Walaupun sekarang beliau masih makan gaji, cita-cita Abi saya dokong dan Insha Allah kami akan berusaha merealisasikannya.

Impian Ummi dan Abi merupakan diari eksplorasi Ummi, Abi dan anak-anak; yang saya lebih selesa bahasakan diri mereka dengan Si Abang dan Si Adik ataupun Abdullah dan Lina. Sedikit paparan pendapat mungkin juga akan diterbitkan di sini. Dalam jangkamasa panjang, harapan saya semoga catatan ini turut menjadi kenangan buat Abdullah dan Lina bila dewasa nanti. Idola Ummi dan Abi sekarang ialah Şehıdımız Ahmad Ammar Ahmad Azam. Besar sungguh impian kami wahai anak-anak, semoga Allah SWT menunjukkan jalan dan mempermudahkanNya. Aamiinn.

Walaupun penulisnya ialah saya sendiri (Ummi), ia mewakili hasrat hati suami saya (Abi) juga. Biarlah blog yang ringkas ini memaparkan pengkisahan kami dalam mencorak anak-anak. Oh ya, sebelum saya terlupa, ingin saya tegaskan di sini, Blog Impian Ummi dan Abi ini hanyalah perkongsian, tidak bermakna kami mahu orang lain bersetuju dan memaksa para ibu-bapa menggunapakai pendapat yang diutarakan di sini. Masing-masing punya cara tersendiri dan kami percaya kepada asas hormat-menghormati sesama kita makhluk Tuhan.

Para pembaca dipersilakan memberi komen dan pandangan sekiranya ada yang tergerak di hati dengan harapan semuanya berguna di dalam perjalanan kami mendidik zuriat. Tidak ada yang lebih penting bagi kami selain anak-anak kami ini kekal dalam nikmat Islam, mendirikan Solat dan beramal dengan ajaranNya. Besar harapan kami agar semua ini menjadi asas dan tonggak kejayaan mereka di dunia dan di akhirat. Semoga kita berhasil mencorak anak-anak seperti apa mahunya, Insha Allahuta'ala.

Sekian,
Tiada yang lebih manis melainkan doa anak yang soleh/ solehah.

Wassalam.