Teks: Snh Nurulhusna
Bismillah
Assalamualaikum WBT
Terima kasih Cikgu Monalita Mansor dengan perkongsian yang cikgu berikan melalui cerpen-cerpen ini banyak yang boleh saya pelajari antaranya:
Hijrah Kasih
Kisah cinta yang tidak kesampaian. Nikmatilah cinta sebelum ditarik semula. Keyakinan dan keteguhan prinsip Dung dan Nyet yang tidak memperdulikan kata-kata orang. Gambaran kehidupan yang sering diuji dengan pelbagai mehnah dan cabaran; keluarga, rakan dan masyarakat setempat.
Si Pemuda Tampan
Saya sangat terkesan seolah-olah kerdipan berlian juga jatuh kedalam anak mata ini. Sungguh benar, sedikit meremang kerana tiada apa yang mampu dijadikan peneman melainkan amalan dan doa anak yang soleh. Akan kehausankah juga saya nanti? Astagfirullahal'azim.
Kesasar Dalam Terang
Lihat kemuliaan hati seorang ibu, walau terasa hati tetap juga tertunduk-tunduk membantu si anak. Persepsi yang sangat baik dari pihak Ustaz dan Hani yang manja itu sebenarnya perlu difahami dan memahami. Teguran halus kepada masyarakat supaya meredakan 'api' dengan 'air' bukannya dengan 'api' juga.
Apa Saja Mahumu
Kisah cinta yang santai namun sangat manis. Saya tersenyum di saat membacanya kerana benar kasih sayang Allah itu Maha Kaya, Maha Luas tidak mengira usia. Cara mengorat yang 'cool', kalaulah saya yang di'ayat' begitu, bukan setakat langsir biru yang jadi pembalut, pengsan terus di sebalik kain langsir.
Teh Segelas
Memang begitulah adat orang tua; pasti curiga dan berdebar-debar bimbang jikalau anak perempuan mereka tidak cukup makan jika bernikah dengan suami yang tidak sekufu. Mesej yang jelas, tinggal lagi terpulang kepada masyarakat tidak kira dari latar belakang yang Islamik mahupun tidak untuk berbangga dengan kerjaya berniaga ini ataupun dengan makan gaji.
Garisan Abdullah
Cerpen ini membuatkan saya berhenti seketika, Isu pilih kasih. Mungkin kerana 'nilai' yang diletakkan terlalu awal ataupun kerana ketidaksabaran menanti masa akhir untuk membuat penilaian. Mudah menyatakan maaf dalam keegoan status usia namun kesannya kepada pepohon muda yang baru hendak belajar tegak berdiri. Di sudut lain, mungkin Abdullah Hashim memerlukan 'kuasa' pilih kasih Wan untuk 'menjadikannya' seorang doktor.
Inilah Doa. Inilah Pinta
Suami isteri yang masing-masing keras sikapnya. Suami dengan kedegilannya dan si isteri dengan egonya. Akhirnya kedua-duanya mendapat balasan dan pengajaran dari dugaan yang ditimpakan. Tetapi Allah SWT masih sayang dengan menyalurkan kefahaman ke dalam hati Haniza isterinya Abang Mad. Nauzubillahiminzaalik.
Menguak Tirai Itu
Sedih. Air mata sebagai peneman ketika membacanya. Sollu'ala khairun Nabiy. Wa'ala Aalihi Wasohbihi Wabaarik Wasallim.
Seanggun Capsicum
Berlatar-belakangkan zaman persekolahan yang amat ceria. Perasaan sayang yang bercambah dari persahabatan. Berbunga-bunga perasaan ini, rasa seperti hendak kembali bersekolah pula. [Ketawa kegembiraan].
Lirih Doa Untuk Dia
Cerpen ini sangat cantik, padat dan saya belajar tentang puteri Nabi Allah di sini. Sesungguhnya hidayah itu MilikNya jua. Terima Kasih Cikgu.
Si Manis
Kesabaran seorang suami dalam mentarbiyah isterinya. Istiqamahnya beliau dalam membentuk isterinya amat saya kagumi. Sememangnya kaum wanita perlukan suami yang berhemah dalam mendidik. Tulang yang bengkok jika diruntun secara paksa akhirnya akan patah dan jika sebaliknya dilentur dengan baik, tidak mustahil boleh lurus elok.
Malasnya Mata
Malu bertanya sesat jalan. Tidak semua murid yang berubah kelakuan itu disebabkan terpengaruh dengan perkara-perkara yang negatif. Menjadi pendidik, sejujurnya berat tanggungjawabnya, sekalipun Zahirah bukan anak emas di sekolah tersebut, perubahan tingkah laku seseorang murid wajar menjadi perhatian guru-gurunya. Sifat cakna guru-guru Zahirah dan umpatan yang dibenarkan dalam Islam sehingga membawa ke perbincangan untuk membantu penyakit remaja itu amat mengharukan saya kerana perasaan kurang senang akhirnya diganti dengan perasaan bersalah dan belas ehsan. Sekurang-kurangnya jalan di hadapan Zahirah sudah tersuluh.
Syarat Ghasidah Segaraga
Terbayang-bayang wajah Allahyarham Tan Sri P. Ramlee dan Seniwati Sarimah yang anggun. Cara bijak menangani ketamakkan ayahandanya Saudagar Sadiq Segaraga yang selalu mendengar cadangan dari peguamnya Kassim Patalon yang busuk hati. Surat perjanjian yang menawarkan penyelesaian di samping memujuk Abdul Wahub supaya faham akan pendiriannya; dalam masa yang sama mempamerkan mereka mempunyai pandangan yang serupa. Ghasidah Segaraga juga menegur tingkah-laku Abdul Wahub yang kurang disenanginya dan memberikan jaminan taat setia kepada suami yang dinikahinya dengan reda hati.
Gulai Aya Untuk Ayah
Dendam antara saudara bagaikan air dicincang tidak akan putus. Walau berdendam, fikiran masih teringat-ingat akan saudaranya, masih ada rasa sayang kerana darah yang mengalir sama merahnya. Keperibadian dan kebijakan seorang isteri tergambar dengan akhlak anak-anak yang ditinggalkan. Walaupun si ayah nampak seperti keras hati, namun hatinya bersih dan dibuang egonya untuk menerima nasihat daripada seorang anak dan bersyukur dengan gulai aya yang dimakannya walaupun bukan dari air tangan isterinya yang amat dirinduinya.
Rautan Takdir
Kita manusia hanya boleh berusaha sedaya upaya, namun takdir yang menentukan segalanya. Segalanya telah tersurat di Loh Mahfuz, Jannah dan Firdaus bertemu jua setelah beberapa kali Jannah begitu kental mengelak dari menikahi Firdaus. Sesungguhnya Allah SWT Pemilik segala hati termasuk isinya jualah yang membolak-balikkan hati milik Jannah daripada teragak-agak kepada menerima Firdaus.
Alhamdulillah selesai membaca, pelbagai perasaan bercampur-baur. Semua cerpen ini memang sangat berbaloi buat saya umpama minda ini dicuci daripada karat-karat bahasa yang tunggang-langgang. Semuanya ada pengajaran yang tersendiri. Terima Kasih Cikgu!!
Sekian,
Wassalam WBT