Wednesday, 4 December 2013

'Amal Jariah' Apa Kata Anda?

Teks: Siti Nurulhusna Hashim

Bismillah

Assalamualaikum WBT

Suara kanak-kanak bergelak-ketawa bermain dan sesekali memanggil ayah mereka semakin meriah kedengaran. Sebelum ini, hanya kakak-kakak kecil di belakang rumah dan di tepi rumah sahaja yang berlari-lari bermain kejar-kejar. Hari ini nampaknya abang kepada si kakak kecil sebelah rumah sudah pun bersama-sama mereka. Saya tidak dapat membayangkan perasaan saya jika berada di tempat jiran sebelah rumah ini yang terpaksa meninggalkan anak-anak yang bersekolah di bawah jagaan ibu dan ayah mereka di Kuala Lumpur. Usah salah sangka, mereka bukan orang susah; jiran saya ini, si suami usahawan kedai pakaian terpakai dan si isteri ialah seorang majistret.

Boleh dikatakan setiap hujung minggu mereka pulang ke Kuala Lumpur menjenguk anak-anak dan kini musim cuti sekolah, jadi anak-anak pula di bawa ke Pulau Pinang. Besar sungguh pengorbanan ibu dan ayah memelihara anak-anak. Besar lagi Rahmat dan Kasih-sayang Allah SWT berikan kepada kita sekiranya berusaha menunaikan amanah dengan jujur dan sedaya mungkin. Pepatah Inggeris yang saya baca dari status mukabuku kawan-kawan menyatakan "Parenting; if you do not feel tired, you are not doing it right".

Saban hari, si kakak jiran saya ini akan keluar rumah sejurus selesai solat Subuh dan kadangkala pulang jam 9.00 malam manakala suaminya akan keluar dalam jam 7.30 lebih untuk menghantar satu-satunya anak yang tinggal dengan mereka; Ira ke tadika dan pulang ke kedainya memulakan perniagaan. Jam 12.30 tengahari kembali bersama Ira dan meneruskan perniagaan hingga ke malam. Ira seringkali bertandang ke rumah bermain bersama Abdullah. Jikalau tidak disertai Dina dan Dini (cucu-cucu jiran belakang rumah), Ira akan datang seorang.

Selain ahli keluarga terdekat kami, mereka-mereka inilah antara orang-orang terawal dari kalangan kanak-kanak yang merasa produk-produk keluaran Abdullah FOODS. Ada yang siap dimasak dan dijamu ketika mereka bertandang dan ada yang dikirim kepada mereka untuk dibawa pulang. Kemudian kami tanyakan pendapat mereka tentang rasanya. Tidak rugi jika memberi makan anak-anak jiran. Biarpun jarang bersua-muka dengan penjaga mereka, hubungan baik perlulah dipelihara kerana itu termasuk dalam adab berjiran. Ini cara kami memelihara hubungan sesama jiran.

[Eh, belum habis cerita pasal jiran, sepinggan nasi daging sampai di muka pintu. Berhenti sekejap menulis, menghadap nasi daging dahulu dek tidak dapat menahan aromanya yang istimewa. Bulan puasa yang lalu mereka berikan kari ikan sembilang; peminat rempah-ratus rupanya. Memang sesuailah tinggal di Pulau Mutiara! Alhamdulillah kenyang sungguh dengan rezeki yang tidak terduga lagi sedap ini. Semoga Allah SWT beri ganjaran pahala dan melipatgandakan rezeki mereka pula. Aamiinn.]

Tiba-tiba minda saya teringatkan seorang kakak beranak lima, berjalan kaki anak-beranak sambil menolak kereta sorong bayi yang saya terserempak pada bulan Ramadhan tahun lepas dalam perjalanan ke bank untuk menukar duit raya, ketika itu beliau sedang sarat mengandung lapan bulan. Beliau gunakan 'twin-stroller' sehingga saya sangkakan beliau beranak kembar tetapi rupanya salah seorang anaknya kurang upaya. Si abang yang sakit itu sama besar dengan yang adiknya yang berusia hampir setahun. Mereka ingin ke Bank Simpanan Nasional; mungkin hendak keluarkan duit, raya pun semakin hampir mungkin juga hendak membeli barang-barang dapur. Berulang-kali saya pelawa naik kereta bersama saya namun kakak itu menolak kerana katanya sudah biasa dan BSN itu dekat sahaja walhal ada lebih kurang satu atau dua kilometer lebih lagi.

Di luar cuaca semakin terik, anaknya semakin berpeluh, berpuasa pula; akhirnya beliau mengalah. Mungkin beliau bimbang saya ini prebet sapu agaknya. Lucu juga bila terkenangkan soalan daripada makcik-makcik yang pernah saya tumpangkan, "Nak bayaq beghapa ni kat hang?" "Hang lama dah ka duk buat prebet sapu ni? Makcik tak pernah nampak pun?". Kehidupan di Balik Pulau, jalan besar tidak sesibuk mana, majoriti punya kenderaan, namun selalunya satu kepala sahaja kelihatan dalam kereta besar-besar. Jadi, daripada saya ke hulu ke hilir tiada teman bercakap baik saya tumpangkan orang-orang yang menunggu bas ataupun orang seperti kakak ini.

Berani tidak juga, hendak cari duit poket jauh sekali, tetapi saya niatkan untuk belajar sucikan hati dan meningkatkan tawakkal kepadaNya. Selalunya kaum wanitalah yang banyak menggunakan perkhidmatan awam dan kelihatan resah menunggu di tepi-tepi jalan. Rata-rata warga emas, kalau tidak pun ibu mengendeng anak kecil. Kembali kepada kisah kakak yang sarat mengandung beranak lima tadi; beliau mahu dipanggil Kak Intan. Seingat saya, anaknya dilahirkan normal namun kuasa Allah SWT mengatasi segalanya apabila kanak-kanak ahli syurga itu terjatuh dalam jagaan pengasuh hingga disahkan koma. Anaknya bangkit dari koma namun lumpuh, tidak boleh bertutur dan tumbesarannya tidak lagi normal seperti kanak-kanak lain. Ini memaksa Kak Intan berhenti dari kerja untuk menjaga sendiri kelima-lima anaknya dan suaminya menanggung sepenuhnya perbelanjaan keluarga.

Bila diperhatikan anak-anaknya berpakaian biasa-biasa sahaja namun tidak comot malah tertib semuanya. Pandai Kak Intan mendidik mereka, sudahlah semuanya lelaki, sopan pula. Selepas turun dari kereta terus mengucapkan terima kasih kepada saya sambil menolong emak mereka mendukung adik yang paling kecil dan cepat-cepat membuka lipatan kerusi roda. Adik yang kurang upaya itu mulanya saya pelawa untuk tolong dukungkan, tetapi dia tidak biasa dengan orang luar. Kasihan pula melihat Kak Intan dengan perut besar hendak berdukung-dukung lagi. Sekali lagi saya pelawa untuk hantarkan mereka pulang tetapi kata Kak Intan, mereka hendak ke beberapa buah kedai lagi selepas ini membeli sedikit keperluan hari raya. Kami bertukar nombor telefon dan saya cepat-cepat ke bank selesaikan urusan saya pula.

Anjuran saya marilah kita menolong orang lain sedaya mampu. Kita tidak perlu tunggu menjadi orang kaya untuk mula bersedekah dan beramal-soleh. Jika ada kelebihan dari sudut wang ringgit apa salahnya  bersedekah kepada ibu-ibu mulia seperti Kak Intan ini. Buatlah dengan cara masing-masing asalkan kita berlumba-lumba berbuat amal jariah. Loyar buruk 'Fardhu Kifayah, Orang lain buat, aku tak payah' kita tukar hari ini kepada "Fardhu Kifayah, Pakat buat, kurang orang susah". Semoga Allah SWT menghantar orang-orang lain pula menolong kita di kala kesusahan kerana dunia ibarat roda si miskin dan si kaya sering bertukar tempat saban waktu. Kemiskinan tidak mungkin terhapus kerana ia komponen hidup; namun boleh dikurangkan dengan zakat dan sedekah jariah. Akhir kata, saya ingin tegaskan penulisan perkongsian ini tidak bermaksud cara saya ini satu-satunya jalan bersedekah dan ingin memaksa seluruh masyarakat bersetuju dan mengikutinya dengan cara saya yang tidak seberapa ini. Masing-masing punya kelebihan dan lebih hebat, lebih kreatif dalam usaha membantu yang memerlukan.

Sekian, jikalau ada yang ingin menyampaikan bantuan, silakan hubungi Puan Intan di 014-2452310.

Wassalam WBT

-------------------------------------------/--<@

Berminat menyertai mana-mana kelas seperti di bawah? Boleh e-melkan kepada saya di snurulhusnahashim@gmail.com

1. Kelas Asas Blog dan Penulisan
2. Kelas Asas Blog dan Fanpage
3. Kelas Beriklan di mudah.my
4. Pra-daftar Kelas Penulisan Kreatif Bulan Disember

No comments:

Post a Comment