Tuesday, 3 December 2013

Kisah Bapa Helang Mengajar Anaknya Terbang- Siri II

Teks: Siti Nurulhusna Hashim

Bismillah

Assalamualaikum WBT

Hari ini kawan-kawan berbuka dengan juadah apa? Marilah kita berdoa supaya Allah SWT memelihara kesihatan kita dan ahli-keluarga kita supaya dapat kita melaksanakan rencana kita dengan sebaik-baiknya. Hari ini saya bercadang hendak mengemas rumah sedikit selepas suami pulang dari bekerja. Panjang sikit masa disebabkan suami kerja sampai pukul satu tengahari. Berikut saya berikan sambungan cerita Si Bapa Helang Mengajar Anaknya, Apa kesudahan dan natijah yang boleh kita peroleh dari kisah tersebut.

#### --------------/<@ @>\--------------####

Melihatkan si anaknya sudah pandai mengerak-gerakkan kepaknya untuk terbang, maka si ayah hanya memerhati dari atas sahaja dan sudah tidak meluru turun menyelamatkan anaknya lagi. Si Anak Helang terbang dengan gembira dan Si Bapa Helang tersenyum bangga melihat pencapaian anaknya.

Begitu juga dengan peringkat-peringkat yang perlu dilepasi sebelum mencapai tahap iman yang tertinggi iaitu TAKWA menurut Imam Ghazali Rahimahullah. Ada lima peringkat kesemuanya dimulai dengan peringkat pertama iaitu Muslimin. Syarat menempatkan diri ke peringkat Muslimin ialah dengan mengucap dua kalimah syahadah. Muslimin melakukan suruhanNya dalam keadaan terpaksa. Contohnya seperti anak-anak yang mahu dilatih bersolat, mesti dipaksa, disuruh dan yang mereka tahu, menjadi Muslim mesti kena Solat lima waktu sehari semalam. Ini ialah proses dalam mendekatkan diri kepada Allah Azzawajalla. Samalah seperti kita dalam meningkatkan diri atau dalam proses menghijrahkan diri ke arah kebaikan. Kita perlu paksa diri demi membiasakan diri dengan melakukan kebaikan dan memaksa menahan diri daripada melakukan keburukan.

Peringkat kedua ialah Mukminin di mana seseorang Mukmin faham kenapa dan mengapa perlu menunaikan suruhanNya bahan di dalam Al-Quran banyak memperihalkan tentang Orang-orang Mukmin bukan Orang-orang Muslim. Sebagai contoh, Orang Muslim bila sampai Bulan Ramadhan, mereka akan berpuasa kerana mereka lihat Orang Muslim sememangnya berpuasa di Bulan Istimewa tersebut. Akan tetapi, bagi Orang Mukmin, puasa mereka adalah kerana mereka faham mengapa; dan setiap kali berpuasa akan ada sesuatu yang bertambah baik bagi mereka di akhirnya kerana mereka tahu ada ganjaran yang akan diperoleh bagi setiap amal soleh yang dilakukan.

Yang ketiga dalam peringkat Iman manusia ialah Mukhlisin yang bermaksud setiap suruhan Allah SWT dilaksanakan dengan keikhlasan tanpa mengharap ganjaran dariNya. Mereka tahu ada ganjaran, tetapi mereka tidak mengharapkan ganjaran atau mengira-ngira keuntungan daripada sumbangan mereka. Kata pentazkirah lagi, garisan antara Muhklisin dan Mukminin tersangatlah halus hinggakan seseorang menyatakan keikhlasan perbuatannya terhadap yang lain maka dia sebenarnya Mukminin. Tepuk dada dan tanya adakah kita memberi dengan ikhlas?

Peringkat seterusnya ialah Muhsinin yang bermasud Orang-orang Terbaik dan melakukan amal soleh dengan keikhlasan dan berusaha sedaya-upaya untuk melaksanakannya ke tahap terbaik. Pandangan manusia tidak lagi penting, balasan daripada individu yang lain tidak langsung diharap bahkan mengamalkan sifat memberi, memberi dan memberi.

Akhir sekali adalah peringkat Mustaqim iaitu Orang-orang yang Bertaqwa. Satu petikan dari blog 'abiceena' http://mindaislah.blogspot.com/2010/08/laallakum-tattaqun-moga-kamu-bertaqwa.html

"Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani. Allah SWT berfirman dalam Surah Al-Baqarah Ayat ke-183, Wahai orang-orang yang beriman, telah diwajibkan puasa ke  atas kamu sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang sebelum kamu mudah-mudahan kamu bertaqwa. 

Ayat ini dimulakan dengan 'Ya ayyuhallazi na aamanu-Wahai orang-orang yang beriman. Prof. Dr. Hamka menjelaskan dalam Tafsir Al-Azhar dengan memetik kata-kata Ibnu Mas'ud RH, bahawa apabila dimulakan sesuatu ayat dengan wahai orang-orang yang beriman pastinya selepas itu akan ada larangan atau perintah yang berat. Dan perintah ini tidak boleh tidak hanya mampu dipikul oleh orang-orang yang beriman tidak kisah samada C.E.O, doktor,si penyapu sampah dan sebagainya. 
--
Syed Qutb RH dalam Tafsir Fi Zilalil Quran ketika menyentuh perihal bahagian terakhir surah ini 'La'allakum tattaqun-mudah-mudahan kamu bertaqwa berkata bahawa: inilah tujuan utama puasa iaitu mempersiapkan hati untuk bertaqwa,menjadi lembut, sensitif dan takut kepada Allah SWT.Taqwa itulah yang membangkitkan kesedaran hati sehingga mahu menunaikan kewajipan ini(puasa) demi mena'ati Allah dan untuk mendapat keredhaanNya. Taqwa inilah yang menjaga hati sehingga tidak merosak puasanya dengan maksiat, walaupun cuma berupa getaran hati untuk berbuat maksiat. Bahkan Syed Qutb RH menyambung tafsirannya,orang-orang yang menjadi sasaran (orang-orang beriman) firman Allah SWT ini tahu kedudukan taqwa di sisi Allah SWT. Maka taqwa merupakan puncak ketinggian rohani mereka dan puasa merupakan salah satu alat dan jalan untuk mencapai taqwa."

Sekian sahaja dari saya, moga perkongsian ini  membawa manfaat kepada semua Insha Allah. Memaksa diri dalam melonjakkan diri ke peringkat yang lebih tinggi bagi saya umpama menerima suntikan antibiotik yang membuatkan diri boleh membina antibodi dengan sendiri hingga mampu menangkis serangan-serangan penyakit. Wallahu 'alamu Bissowab. Sedang menaip entri ini, kami menerima kunjungan dari ibu saudara datang membawa pelbagai juadah berbuka dengan murtabaknya, dengan kuih kacangnya, dodol dan sebagainya. Semoga murah rezeki mak tam dan pak tam sekeluarga, Aamiinn Insha Allah.

Wassalam WBT




No comments:

Post a Comment