Saturday, 7 December 2013

Hari Pertama Makan Talam

Teks: Siti Nurulhusna Hashim

Assalamulaikum WBT

Tanggal hari ke-34 berpantang, makin teruja hendak buat 'countdown' untuk baki sepuluh hari lagi. Alhamdulillah badan pun terasa makin segar, kerja-kerja rumah pun sudah mula dibuat sedikit demi sedikit. Siapa cakap orang berpantang hanya perlu berbaring sahaja? Sekurang-kurangnya otot dapat dilejangkan, sendi-sendi dilegakan bila bergerak menyapu lantai dan mengutip dan menyidai pakaian. Main-main sikit dengan si abangnya 'baby'. Hati rasa gembira dan bersemangat juga!

Kisahnya yang hendak dicerita ialah hari ini hari pertama melaksanakan makan menggunakan talam bersama si abang. Sudah namanya kanak-kanak kecil memanglah tidak tahu duduk diam hatta waktu makan pun habis dikeca-kecanya makanan. Ada yang dikutip kembali terus masuk ke mulut. Aduhai, umminya lepuk kepala sendiri sambil ketawa dan tidak tahu bagaimana hendak bereaksi. Ketawa kepeningan barangkali.

Objektifnya bukan hendak mengadu-domba perihal anak sendiri, tetapi idea makan dalam talam ini tercetus bila Paksu sekeluarga datang makan-makan di rumah emak-ayah tempoh hari. Kata Paksu, beliau sekeluarga makan menggunakan talam. Pada mulanya sukar sedikit, tetapi lama-kelamaan anak-anaknya boleh bertolak-ansur dan jadi mendengar kata bahkan molek tingkah-lakunya. Terus menyala 'mentol' di benak ini nak mencuba dengan anak sendiri. Sebenarnya tidak mahu cuba-cuba, tetapi hendak laksanakan terus, inikan Sunnah Nabi SAW! Bukannya perkara baru yang diperkenalkan.

Antara kebaikan yang dapat dicapai jika makan menggunakan talam ialah, sudah tentu menjimatkan! Jimat masa jika satu talam sahaja yang hendak dibasuh. Jimat masa tidak perlu menghidang bermangkuk-mangkuk, letak nasi, lauk pula di'taruk atas' bak kata mamak nasi kandar Pulau Pinang. Sebuah talam boleh muat tiga hingga lima orang duduk di kelilingnya, dan bagi kanak-kanak mungkin lebih lagi. Dulu waktu zaman sekolah rendah, rasanya ayah pernah cuba beri kami adik-beradik makan menggunakan talam, namun bila seorang demi seorang masuk ke asrama, sedar-sedar kami sudah makan menggunakan pinggan semula. Mungkin 'tak cukup korum' agaknya. Sebenarnya Rasulullah SAW sudahpun mengajar kita mengenai Adab Makan dan tatacara pemakanan mengikut sunnah akan dikongsikan dalam entri berikutnya In Sha Allah.

Sekian dahulu buat kali ini; sehingga berjumpa lagi.

Wassalam WBT


Ceritakan pengalaman atau perniagaan anda kepada kami melalui penulisan blog. Kelas Asas Blog dan Penulisan, Kelas Asas Blog dan Fanpage juga Kelas Beriklan di Mudah.my sentiasa bersiaran. Maklumat mengenai kelas boleh dirujuk di sini. Beriklan juga semakin mudah dengan pakej serendah RM50.00. Mahu tahu butiran pakej pengiklanan? Sila klik di sini. Teruja mahu tahu cara memulakan blog sendiri? Sila daftar di sini



No comments:

Post a Comment