Bismillah
Assalamulaikum WBT
Apa khabar sekalian? Rasanya sudah lama tidak bersua dengan kalian berkongsi cerita kan? Saya baru pulang dari membeli barang-barang untuk siapkan tempahan dari pelanggan. Hajat di hati cepat-cepat dapat siapkan supaya sepuluh malam terakhir Ramadhan boleh saya tumpukan kepada perkara yang lebih penting Insha Allah. Saudara dan saudari sekalian, malam ini tazkirahnya sedikit santai selepas Sunat Tarawikh tapi penuh dengan pengisian. Pentazkirah menceritakan kisah Bapa Helang Mengajar Anaknya Terbang suatu tamsilan yang beliau bawa selepas merenung dokumentari dalam National Geography.
#### --------------/<@ @>\--------------####
Sudah menjadi habitat helang tinggal di kawasan cerun dan tinggi. Pada suatu hari, Si Bapa Helang membawa anaknya ke suatu dataran lapang; sudah pasti di tempat yang paling tinggi. Diletakkan anaknya di hujung cenuram, lalu dibiarkan anak itu bermain dengan leka. Sedikit demi sedikit dia beransur ke belakang memerhati. Apabila anak itu semakin asyik, "Hah!" Satu sepakan tepat pada kaki si anak membuatkan anak itu jatuh, terus menjunam ke bawah. Si Anak Helang itu berteriak-teriak ketakutan dek kerana tidak tahu terbang sedang di hadapannya ada seribu kemungkinan. Mungkin terhempas di batu, mungkin terus lemas selepas terjunam ke dalam air, mungkin tersangkut di ranting-ranting liar, mungkin itu dan mungkin ini.
Sebaik sahaja anak helang semakin hampir menuju bahaya, Si Bapa Helang dengan kecekapannya terbang menyambar si anak tersayang dan dibawa naik ke tempat bermain tadi. Alhamdulillah. Sungguh lega hati si anak bila si ayah menyelamatkannya. Ditanyakan kepada ayahnya, "Bapak, bapak...kenapa bapak sepak saya bapak? Bapak tak mahu saya lagi?" "Bapak tak sengaja nak" jawapan Si Bapa Helang mententeramkan jiwa anak yang curiga. Lantas bermain-main lagi si anak, almaklumlah lumrah anak kecil memang fitrah dan mindanya difokuskan untuk bermain.
"Pup!" Sedar-sedar diri sudah terjunam si anak helang di cerun yang sama. Sambil tertanya-tanya dan kecemasan, diangkatnya kepala untuk cuba menyelamatkan diri namun si anak helang tetap bakal terhempas jua. Anak helang itu mengangkat-angkat kepalanya mencuba yang terbaik, hingga saat genting Si Bapa Helang sekali lagi menyelamatkannya. Lantas satu lagi persoalan diujarkan kepada si ayah, mengapa boleh terjadi begitu buat kedua kalinya dan ayahnya berkata bahawa dia betul-betul tidak sengaja. Si Anak Helang mula mengesahkan rasa curiga yang terbit pada awalnya tadi.
Curiga Si Anak Helang terbukti terpadam beberapa kali apabila si ayah berjaya menyepak jatuh anaknya beberapa kali dan diselamatkan pula selepas itu. Jatuhan yang kemudian itu, anak helang cuba mengangkat kaki rapat ke badan, "Ah, semakin laju pula!", menitis air mata kegeraman terhadap si ayah yang sampai hati memperlakukannya begitu. Yang berikutnya ditebarkan sayapnya, "Nah, sudah makin perlahan bulu pelepahnya yang halus bergeser dengan udara". Anak helang tersenyum sendirian. Untuk jatuhan yang terakhir, Si Anak Helang tidak lagi bersedih bahkan teruja mencuba menggerak-gerakkan kepaknya, "Eh, naik pula badan aku ni! Eh, semakin jauh dari air!"
~Bersambung~
#### --------------/<@ @>\--------------####
Sekian dahulu untuk entri ini, nantikan sambungannya dalam entri saya yang berikut ya hadirin pembaca yang disayangi!
Wassalam WBT
No comments:
Post a Comment