Tuesday, 3 December 2013

Dilema Merancang Keluarga

Teks: Siti Nurulhusna Hashim

Bismillah

Assalamualaikum WBT

Baru selesai tidurkan anak-anak, syukur hari ini senang lelap mereka berdua jadi umminya ambil masa sekejap untuk kemaskini blog. Sebelum tidur semalam sempat berfikir-fikir tentang kaedah merancang keluarga yang ditawarkan oleh kementerian kesihatan negara kita. Bukan apa, hari Khamis ini saya perlu ke klinik untuk mengambil suntikan depo.

Ini ialah Plan B kerana sebelum ini saya dan suami tidak kisah tentang berapa jumlah anak-anak yang Allah SWT kurniakan; asalkan semuanya sihat-sihat belaka. Namun apakan daya, faktor kesihatan ibu juga perlu diambil kira dan saya bercadang mengambil suntikan untuk tujuan ini. Dan dek kerana tersentap dengan status mukabuku seorang junior sekolah lama yang bertanyakan pendapat tentang pil perancang kerana bimbang akan kesan sampingannya, barulah pencerahan berlaku di benak saya untuk turut mengkaji baik-buruk kaedah perancang keluarga ini. Bayangkan, selama 40 hari berpantang tidak pula saya terfikir untuk mengkaji kesan-kesan buruk jika mengambil pil, suntikan, implan bahkan alatan yang diguna untuk menghalang persenyawaan.

Kata emak saya, orang dulu-dulu tidak perlu pun ambil ubat-ubatan segala macam untuk merancang; cuma susukan anak dengan betul, guna kaedah semulajadi dan amalkan makanan yang membantu menjarakkan kehamilan seperti air tebu. Kalau tidakpun amalkan memakan jamu. Sebab itu jarang dengar sakit-sakit sepeti sakit kepala, pendarahan berlebihan ketika haid, haid yang tidak teratur mahupun kes-kes kanser yang menyerang wanita. Aduhai, memikir tentang gejala-gejala seperti berat badan naik mendadak dan jerawat pun merisaukan kaum wanita, inikan pula kanser. Ya benar, mengingati mati itu perlu, tetapi biarlah kita berbuat sesuatu yang kita faham dan maklum kesannya.

Masih mengkaji dari blog-blog dan forum yang membicarakan hal ini. Yang bagusnya ada pendapat dari pengamal perubatan juga. Sebenarnya ada juga saya utarakan soalan kepada doktor di klinik, tetapi hendak bersoal-jawab lama-lama kesian pula ibu-ibu lain yang menunggu dan doktor hanya cakap "Kaedah suntikan ini OK, tak perlu risau".

Kaedah merancang kelahiran terbahagi kepada kaedah kekal dan tidak kekal. Memotong tiub atau saluran yang menghubungkan ovari (kilang telur bagi wanita) dengan rahim dan 'vasectomy' bagi lelaki  ('Vasectomy' bukanlah mengkasi) adalah kaedah yang kekal dan suami isteri perlu berbincang dengan lebih mendalam kerana melibatkan emosi dan fizikal kedua-dua pihak dalam jangkamasa panjang. Penanaman implan, pengambilan pil jenis Noriday, kombinasi dan suntikan depo, pemasangan IUCD, penggunaan kondom lelaki dan wanita, gegelang vagina, pelekat hormon, dan gel mengurangkan aktiviti sperma adalah contoh kaedah-kaedah di dalam kategori perancang tidak kekal.

Kesimpulan dari pembacaan saya, setiap kaedah ada pro dan kontranya dan sudah pasti bergantung kepada individu masing-masing. Pesan saya, ceritakan dengan terperinci mengenai status kesihatan anda kepada doktor contohnya jika anda penghidap migrain, tekanan darah tinggi ataupun lain-lain kerana mereka lebih tahu jenis perancang yang sesuai dengan keadaan anda. Jangan ambil ringan walau anda hanya mengalami gatal-gatal sewaktu mengandung; itupun perlu dimaklumkan. Mengambil ubatan sambil lewa bukan sahaja merugikan diri, tetapi mendedahkan kita kepada risiko yang lebih serius.

Ada dua hari perlu dimanfaatkan untuk berfikir sebelum saya membuat keputusan. Kaedah mana yang lebih sesuai samada merancang dengan cara moden atau cara emak-emak kita?

Sekian

Wassalam WBT

--------------------------------------------------

Anda ada pendapat mahu diutarakan? Kongsikan ilmu kepakaran anda dan ceritakan pengalaman atau perniagaan anda kepada pembaca melalui penulisan blog. Kelas Asas Blog dan Penulisan, Kelas Asas Blog dan Fanpage juga Kelas Beriklan di Mudah.my sentiasa bersiaran. Promosi yuran pada harga RM200.00. Maklumat mengenai kelas boleh dirujuk di sini. Beriklan juga semakin mudah dengan pakej serendah RM50.00. Mahu tahu butiran pakej pengiklanan? Sila klik di sini. Teruja mahu tahu cara memulakan blog sendiri? Sila daftar di sini

No comments:

Post a Comment