Monday, 23 December 2013

Kehinaan

Teks: Snh Nurulhusna

Bismillah

Assalamualaikum WBT

Sabda Nabi SAW yang mafhumnya berbunyi "Hutang itu siangnya kehinaan dan malamnya resah-gelisah". Seringkali kita kaitkan dengan berhutang wang ringgit dan harta benda.

Bagi pihak yang memberi hutang, berdoalah semoga orang yang berhutang dikurniakan kesihatan dan kekuatan supaya dapat berusaha untuk melangsaikannya dan dalam masa yang sama pihak yang berhutang itu wajib berusaha bersungguh-sungguh hingga dapat membayar hutang. Hutang wajib dibayar biarpun si pemiutang sudah meninggal dunia dan sama halnya bagi si penghutang. Nabi SAW selalu berdoa dengan memohon dijauhkan daripada hutang.

Bagi kita yang bencikan hutang, usahlah menjeling menunjukkan tanda benci kerana tidak mustahil kita juga pernah berhutang dan belum tentu kita tidak akan berhutang di masa hadapan. Dunia ini sekejap di atas dan sekejap di bawah. Bukan kita yang wajib meletakkan taraf 'hina' itu kepada sesiapa kecuali Dia.

Berhutang wang ringgit dan harta benda lebih dibimbangkan daripada berhutang solat waktu. Alangkah malunya kita jika masih berhutang dengan Alah Taala tetapi berjalan dengan megah di atas bumi milikNya.

Sekian,

Wassalam WBT

Saturday, 14 December 2013

Senang Hati. Alhamdulillah

Teks: Snh Nurulhusna

Bismillah

Assalamualaikum WBT

Alhamdulillah, Segala Puji-pujian kepada Allah SWT Pemilik sekalian alam. Hari ini hari yang nikmat kerana semuanya sihat-sihat belaka.

Seronok Abdullah hari ini dapat meratah susu tepung sambil tonton Upin Ipin kegemarannya.
Melihatkan gambar ini sudah menggambarkan meriahnya hari Abdullah. Makan pagi dengan karipap, cucur badak dan kuih kacang yang dibuat mainan. Alih-alih minta susu tepung pula, pandai sungguh Abdullah walaupun belum boleh bercakap sangat, dia mampu mencapai bekas susu dan minta Omi bukakan dengan bahasa badan siap dengan muncung-muncung mulutnya. Bila saya bukakan terus dia cedok dan ambil keluar 'scoop' jadi Ummi kena ganti yang baru. Mujurlah setiap sepeket susu ada satu sudu.

Adik Lina tidur-tidur ayam di dalam buai. Sebentar tadi sebelum Abi ke masjid bersolat Zuhur, Abi teruja melihat Abdullah menghenjut buai Adik Lina dengan baik sekali. Lantas Omi ceritakan pada Abi yang sebenarnya sudah lama Abang Abdullah pandai mengasuh adik. Ummi pernah terpaksa tinggalkan mereka sekejap kerana ke bilik air, sambil-sambil itu pasang telinga bimbangkan mereka menangis. Tetapi senyap sahaja, bila Omi perhatikan rupanya-rupanya Abdullah henjutkan buai adik sambil berdiri tengok Upin dan Ipin. Apabila adik berbunyi, dia pun henjut. Kelakar pun ada, kesian pun ada tetapi Omi tawakkal sahaja biarkan sekejap.

Adik yang sangat baik, Alhamdulillah.
Abi sudahpun pulang dari solat, banyak yang Abdullah makan hari ini. Kami sungguh senang hati melihatnya banyak makan nasi kerana sudah hampir sebulan Abdullah jarang sekali berselera memakan nasi. Syukur Alhamdulillah. Senang hati juga melihat anak tidur lena bukan kerana hendak pulun buat kerja tetapi kami sedar bahawa tidur anak-anak ini penting untuk menghadam pembelajaran yang baru didedahkan kepada mereka.

Saya berazam untuk menjadikan tidur anak-anak dipenuhi gelak ketawa dan bahagia bukannya racauan dan trauma melihat contoh yang tidak baik. Bukan mereka lahir untuk dimarahi, Astagfirullahala'zim.

Baiklah, bersambung nanti

Sekian

Wassalam WBT

Friday, 13 December 2013

Terima Kasih Abi: Belikan Kad Imbasan

Teks: Siti Nurulhusna Hashim

Bismillah

Assalamualaikum WBT

Selesai menghantar suami masuk kerja kembali setelah solat Jumaat, terus saya menerima kunjungan Dina, Dini, Ira dan Ina. Jadi sesi tengahari ini ialah melayan kakak-kakak bermain dan tayangan Upin dan Ipin secara 'back to back'.

Hari ini Abdullah tidak ketinggalan bermain kad imbasan huruf Hijaiyah yang Abi belikan. Terima kasih Abi kerana belikan barang yang berharga ini. Ummi baru berkira-kira hendak menempah di Facebook tetapi Abi pulang dengan kad yang cantik dan harga jauh lebih murah. Syukur, boleh simpan belikan anak-anak buku-buku lain pula.

Malam ini Abdullah sudah pandai menyebut 'Alif' dengan terang! Tetapi macam biasa-lah, sekali sebut selepas itu senyum-senyum terjun dari sofa pula. Gaya terjun papan anjal tetapi 'backward' atau 'reverse' Ummi belum kaji. Aduhai, Ummi masih mengorek apa minat Abdullah dan Insha Allah kami akan beri dorongan yang mana anak-anak lebih gemari.

Walaupun belum pandai cakap, Ummi ajar sahaja macam pesan emak ayah orang lain. Cakap sahaja, dan di ulang banyak-banyak kali mudah-mudahan Abdullah dan Lina menyusunnya dalam memori mereka.

Banyak lagi yang perlu Ummi dan Abi ajarkan, dan moga Allah SWT membantu kami. As-Syahid Ahmad Ammar ahmad 'Azam sentiasa menimbulkan sebak dan harapan walaupun sebulan lebih beliau bahagia di sana. Moga semangat kami dalam mendidik terus segar bak bunga di pusara beliau dan menghijau hingga berhasil kami menuainya di sana. Amiinn.

Sekian,

Wassalam WBT

Monday, 9 December 2013

Talam Baru -Tatacara Makan Menggunakan Talam

Teks: Siti Nurulhusna Hashim

Assalamualaikum WBT

Entri ini ialah sambungan dari sebelumnya, masih berkisar tentang talam. Tidak disangkal lagi Sunnah Nabi SAW ini jika diamalkan akan memberikan kita faedah dan ganjaran yang besar di akhirat kelak In sha Allah. Rata-rata mengatakan tidak ada hadith yang sahih menyebut makan menggunakan talam ialah Sunnah Rasulullah SAW, namun sekiranya kita mahu makan bersama-sama secara berjemaah, penggunaan pinggan besar, pelapik makanan atau talam adalah yang paling praktikal. Lagi besar saiznya, lagi ramailah boleh berkongsi makanan. Makan bersama-sama ini bertepatan dengan Hadith Nabi SAW yang mana mafhumnya berbunyi. "Berjama'ah dalam menyantap hidanganmu dan sebut nama Allah padanya, nescaya akan mengandungi berkah bagimu" (Silsilah Hadits-Hadits Shahih no. 664). Banyak lagi hadith yang menyebut perkara dan anjuran yang sama iaitu makan secara berjemaah.

Selalunya makan dalam talam atau dulang ini dikaitkan dengan jemaah Tabligh kerana di dalam kehidupan jemaah ini, mereka memang di ajar tentang pelbagai adab termasuklah adab makan. Makan secara berjemaah memang istimewa, kemeriahannya dapat dirasakan pada bulan Ramadhan di masjid-masjid yang menjalankan majlis iftar dan sesekali dalam kenduri kahwin. Hal ini juga sudah dijadikan amalan di pusat-pusat asuhan kanak-kanak yang islamik. Initipati sebenar makan menggunakan talam bukanlah semata-mata hendak menjimatkan masa membasuh pinggan, namun di sebalik cara makan ini tersembunyi hikmah dan kebaikan bagi yang menghayatinya. Bagaimana hendak mendapatkan 'feel'nya makan setalam? Di sini disertakan 13 tatacara makan talam setakat mana yang diketahui dan tambahan dari kerja-kerja meng'google'. Jikalau ada di kalangan pembaca ingin membuat penambahan silalah tinggalkan di ruangan komentar.

1. Pastikan kuku dipotong dan bersih dan cuci tangan sebersih-bersihnya. Islam menganjurkan kita membasuh tangan sebelum makan dan amalan membasuh tangan memang penting sehinggakan kita  membasuh tangan dua kali ketika berwudhuk. Basuhan yang pertama ialah kedua tapak tangan hingga ke pergelangan tangan ialah sunat dan yang kedua meratakan air sehingga ke pergelangan siku ialah rukun wudhuk. In Sha Allah saya akan kongsikan apa yang saya pelajari tentang wudhuk dalam entri yang lain.

2. Duduk dengan sopan dan betul supaya dapat memberi ruang yang sepatutnya kepada orang lain dan juga perut kita. Caranya, duduk seperti duduk Tahiyat Awwal; punggung dilapik dengan kaki kiri, bezanya kaki kanan dinaikkan sehingga lutut di dada dan tangan kanan di luar kaki. Bila duduk dengan cara begini, perut akan dibahagikan dengan elok; sepertiga untuk minuman, sepertiga untuk makanan dan sepertiga untuk angin. Gaya duduk begini juga mengajar kita erti tawaddhuk, menghormati makanan dan menunjukkan kita ini bersifat terbuka terutama sekali dengan oranag yang berkongsi talam sewaktu makan. Rasulullah SAW menasihati kita agar tidak makan dengan gaya sombong dan bermegah-megah.

3. Menyebut Nama Allah (Bismillah) dan membaca do'a makan. Ada beberapa hadith yang berlainan mengenai membaca 'Bismillah' ataupun 'Bismillahirrohmanirrohim' sebelum menjamah makanan, makanan itu tidak akan dapat disertai oleh syaitan.

4. Makan dengan tangan kanan. Nabi SAW bersabda yang diriwayatkan Ibn Umar mafhumnya berbunyi "Apabila kamu hendak makan, makanlah dengan tangan kanan dan apabila kamu hendak minum, minumlah dengan tangan kanan. Kerana syaitan makan dengan tangan kiri dan minum dengan tangan kiri. Anggota kiri bila digerakkan akan mencetuskan otak kanan yang mengaktifkan ciri-ciri negatif seperti mementingkan diri sendiri, sombong, bermegah-megah dan lain-lain, manakala anggota kanan mencetuskan otak kiri yang lebih kepada perasaan yang positif dan gembira. Anjuran memakan dengan tangan kanan adalah penting dalam membina umat yang positif dan cara makan yang penuh etika ala barat sewaktu majlis makan malam paling tidak ketika menikmati makanan barat sewajarnya di'basuh' dan dimurnikan semula dengan mengikut ajaran Penghulu Segala Nabi, tidak lain tidak bukan Nabi Muhammad SAW.

5. Makan menggunakan tiga jari iaitu ibu jari, jari telunjuk dan jari tengah. Juga diharuskan menggunakan lima jari mengikut kesesuaian makanan.

6. Nabi SAW selalu mencolek garam dengan jari kelingking tangan kanan sebelum makan dan menghisapnya kemudian mencolek garam dengan jari manis Baginda di antara suapan-suapan sewaktu menjamah makanan. Amalan mencolek garam ini berkesan untuk menghindarkan 70 jenis penyakit. Info tentang garam telah saya tulis sebelum ini.

7. Mula makan dari tepi ke tengah. Selalunya dalam sesi bertaaruf dengan rakan-rakan setalam, ada yang menghadiahkan suapan pertama untuk rakan baru, ada juga yang membahagikan makanan dalam talam dengan menggunakan tangan. Bila seorang melihat kawannya jauh dari lauk, diambil dengan tangan dan dihulur kepada yang tiada lauk. Objektif makan cara begini bukanlah untuk makan sekenyang-kenyangnya ataupun siapa makan cepat dia makan lebih banyak, tetapi untuk mengajar kita berkongsi dan bertolak-ansur hatta dengan orang yang hanya kita kenali tidak lebih dari saudara seislam. Ia juga untuk melatih sifat cakna, mesra, merendah diri dan tidak menilai orang lain dari luarannya sahaja. Kita juga dilarang mengenakan kawan-kawan kita dengan meninggalkan sejumlah besar makanan yang tidak mampu dihabiskannya dan berhentilah sebelum kenyang seperti anjuran Baginda SAW.

8. Makanan yang tidak sedap usah dicela. Jika menepati selera, makanlah lebih, jika tidak makanlah sedikit. Allah jadikan lidah manusia berbeza-beza; ada yang 'super-taster' ada yang tidak ('non-taster').

9. Kutip makanan yang tertumpah. Ini juga melatih sifat rendah diri dan meningkatkan tawakkal kepada Allah SWT. Nabi SAW menyuruh kita mengutip makanan yang tertumpah, buangkan bahagian yang terkena kotor (atau kita boleh basuh mahupun sapu) dan tidak meninggalkan makanan yang tumpah itu kepada syaitan.

10. Beramah-mesralah ketika makan. Masa makan seperti inilah meningkatkan skil bercakap dengan sopan dan menghormati orang lain. Sesi taaruf kemudiannya boleh menjadi sesi menyampaikan dakwah dan perkongsian ilmu secara santai.

11. Jilatlah jari sehingga licin. Renungkanlah, Kekasih Allah yang tinggi darjatnya dan dijamin syurga pun sangat menghormati dan bersyukur terhadap rezeki, inikan pula kita manusia biasa sementelahan pula kita tidak tahu entah di celah-celah atau bahagian manakah jari kita terdapatnya keberkatan makanan, Wallahu'alam.

12. Ucapkanlah 'Alhamdulillah' ataupun Doa setelah Makan.

13. Biasakan diri untuk membasuh talam dan mencuci lantai dari kesan-kesan makanan jika makan di masjid-masjid. Tempat makan yang bersih lebih menyenangkan hati dan kebersihan itu sebahagian daripada iman.

Jika dilihat semula, memang sukar bermujahadah jika mengambilkira pandangan orang-orang yang kurang faham tentang makan setalam ini. Tidak kurang juga yang berfikiran negatif dengan menyatakan kegelian dan takut dianngap 'tidak moden' atau kekampungan jika makan talam. Bahkan lebih sukar bermujahadah menghalang diri dari perasaan bangga apabila makan dengan gaya Pesuruh Allah Azzawajalla; sepertinya diri sudah lebih baik dari yang lain. Nauzubillahiminzaalik.

 namun, setelah kenangan betapa nikmatnya menjamah hidangan dengan cara begini segar kembali, pulang sahaja dari hospital pagi tadi terus saya semangat membelokkan kereta ke kedai plastik mencari talam yang sesuai. Makan 'berebut' kata orang memang lebih sedap; walhal kita tidak berebut pun. Hari kedua makan dengan talam, percubaan pertama dengan menghidangkan kek sewaktu jam minum pagi. Gelak sekejap kerana habis dikeca bayi-bayi yang bercakap bahasa 'Planet Baby' siapa lagi kalau bukan Abdullah dan dua orang sepupunya.

Tinggal si Abang Adib, kakak Adibah menyorok kerana takut 'ATOMEN' (Ultraman), Abdullah pula pergi minum susu.
Cara makan ini akan diteruskan dengan melibatkan Abi yang buat masa ini masih bekerja. Besok Abi pulang makan malam bolehlah bagi kejutan pada beliau! Sekian sahaja perkongsian ini, moga mendapat manfaat darinya dan usah malu dan segan untuk menambah apa yang terkurang di sini.

Sekian,

Wassalam WBT

-----------------------------------------------------

Kongsikan ilmu kepakaran anda dan ceritakan pengalaman atau perniagaan anda kepada pembaca melalui penulisan blog. Kelas Asas Blog dan Penulisan, Kelas Asas Blog dan Fanpage juga Kelas Beriklan di Mudah.my sentiasa bersiaran. Maklumat mengenai kelas boleh dirujuk di sini. Beriklan juga semakin mudah dengan pakej serendah RM50.00. Mahu tahu butiran pakej pengiklanan? Sila klik di sini. Teruja mahu tahu cara memulakan blog sendiri? Sila daftar di sini












Sunday, 8 December 2013

Zikir Untuk Mangsa Banjir

Teks: Siti Nurulhusna Hashim

Bismillah

Assalamualaikum WBT

Sedikit ilmu untuk dikongsikan untuk mangsa-mangsa banjir dan seluruh rakyat Malaysia. Ini yang saya baca dari Rahsia Asma Ul-Husna. Jikalau ada ustaz atau ustazah yang lebih arif silakan memberi pandangan.

Mengikut turutan dalam 99 Nama Allah Yang Baik, Al-Wakiil pada turutan ke-52 yang bermaksud Maha Pemegang Amanah, jadi jika untuk berzikir, kita akan sebut 'Ya Wakiil'. Wahai Pemegang Amanah diulang sebanyak mungkin dengan penuh pengharapan.

Jika ribut taufan, diharap akan reda, jika hujan lebat juga mudah-mudahan reda, jikalau banjir semoga akan cepat surut dan kembali seperti sediakala. Insha Allah.

Sekian,

Wassalam WBT

Saturday, 7 December 2013

Hari Pertama Makan Talam

Teks: Siti Nurulhusna Hashim

Assalamulaikum WBT

Tanggal hari ke-34 berpantang, makin teruja hendak buat 'countdown' untuk baki sepuluh hari lagi. Alhamdulillah badan pun terasa makin segar, kerja-kerja rumah pun sudah mula dibuat sedikit demi sedikit. Siapa cakap orang berpantang hanya perlu berbaring sahaja? Sekurang-kurangnya otot dapat dilejangkan, sendi-sendi dilegakan bila bergerak menyapu lantai dan mengutip dan menyidai pakaian. Main-main sikit dengan si abangnya 'baby'. Hati rasa gembira dan bersemangat juga!

Kisahnya yang hendak dicerita ialah hari ini hari pertama melaksanakan makan menggunakan talam bersama si abang. Sudah namanya kanak-kanak kecil memanglah tidak tahu duduk diam hatta waktu makan pun habis dikeca-kecanya makanan. Ada yang dikutip kembali terus masuk ke mulut. Aduhai, umminya lepuk kepala sendiri sambil ketawa dan tidak tahu bagaimana hendak bereaksi. Ketawa kepeningan barangkali.

Objektifnya bukan hendak mengadu-domba perihal anak sendiri, tetapi idea makan dalam talam ini tercetus bila Paksu sekeluarga datang makan-makan di rumah emak-ayah tempoh hari. Kata Paksu, beliau sekeluarga makan menggunakan talam. Pada mulanya sukar sedikit, tetapi lama-kelamaan anak-anaknya boleh bertolak-ansur dan jadi mendengar kata bahkan molek tingkah-lakunya. Terus menyala 'mentol' di benak ini nak mencuba dengan anak sendiri. Sebenarnya tidak mahu cuba-cuba, tetapi hendak laksanakan terus, inikan Sunnah Nabi SAW! Bukannya perkara baru yang diperkenalkan.

Antara kebaikan yang dapat dicapai jika makan menggunakan talam ialah, sudah tentu menjimatkan! Jimat masa jika satu talam sahaja yang hendak dibasuh. Jimat masa tidak perlu menghidang bermangkuk-mangkuk, letak nasi, lauk pula di'taruk atas' bak kata mamak nasi kandar Pulau Pinang. Sebuah talam boleh muat tiga hingga lima orang duduk di kelilingnya, dan bagi kanak-kanak mungkin lebih lagi. Dulu waktu zaman sekolah rendah, rasanya ayah pernah cuba beri kami adik-beradik makan menggunakan talam, namun bila seorang demi seorang masuk ke asrama, sedar-sedar kami sudah makan menggunakan pinggan semula. Mungkin 'tak cukup korum' agaknya. Sebenarnya Rasulullah SAW sudahpun mengajar kita mengenai Adab Makan dan tatacara pemakanan mengikut sunnah akan dikongsikan dalam entri berikutnya In Sha Allah.

Sekian dahulu buat kali ini; sehingga berjumpa lagi.

Wassalam WBT


Ceritakan pengalaman atau perniagaan anda kepada kami melalui penulisan blog. Kelas Asas Blog dan Penulisan, Kelas Asas Blog dan Fanpage juga Kelas Beriklan di Mudah.my sentiasa bersiaran. Maklumat mengenai kelas boleh dirujuk di sini. Beriklan juga semakin mudah dengan pakej serendah RM50.00. Mahu tahu butiran pakej pengiklanan? Sila klik di sini. Teruja mahu tahu cara memulakan blog sendiri? Sila daftar di sini



Peristiwa Penting dalam Bulan Muharram - Salam Tahun Baru 1435H

Teks: Siti Nurulhusna Hashim

Assalamualaikum WBT

Alhamdulillah, syukur yang tidak terhingga kepada Allah SWT kerana diberi kesempatan bernafas setahun yang lalu dan masih lagi bernafas di ambang tahun baru 1435H. Hati rasa berbunga-bunga dapat mengaminkan bacaan doa akhir dan awal tahun yang dibaca emak dan ayah sambil meriba si adik LK. Celik sahaja matanya, sambil senyum-senyum mungkin dia pun teruja macam umminya juga.

Abi dan abang kecil di rumah sewa dan mereka membaca doa dari sana. Walau dimanapun berada, ianya bukan penghalang untuk menyatakan rasa syukur dan pengharapan kepada Allah SWT. Moga amalan kita tahun lepas diterima, diredhai dan diberiNya Rahmat untuk kehidupan yang berkat di tahun baru ini.

Kalendar Qamariah telah digunakan secara turun-temurun oleh Orang Arab dan pada Zaman Pemerintahan Khalifah Umar Al-Khattab R.A, beliau telah menentu-sahkan penggunaannya dan menetapkan 1 Muharram sebagai hari pertama dalam Kalendar Hijri berdasarkan keistimewaan bulan yang dipanggil Bulan Haram oleh orang Arab ini. Lantaran banyak peristiwa penting dan besar berlaku tanggal 10 Muharram atau hari yang juga dinamakan 'Hari Asyura' ini, maka bulan Muharram dipilih sebagai bulan pertama kalendar Hijrah. Nama Hijrah dipilih kerana peristiwa besar dalam sejarah kenabian ialah Hijrah Rasulullah SAW dari Mekah ke Madinah.

Peristiwa-peristiwa penting tanggal 10 Muharram ini adalah seperti di bawah: 
1. Taubat Nabi Adam diterima oleh Allah
2. Nabi Idris diangkat oleh Allah ke langit.
3. Nabi Nuh diselamatkan Allah keluar dari perahunya sesudah bumi ditenggelamkan selama 6 bulan
4. Nabi Ibrahim diselamatkan Allah dari pembakaran Raja Namrud
5. Allah menurunkan kitab Taurat kepada Nabi Musa
6. Nabi Yusuf dibebaskan dari penjara
7. Penglihatan Nabi Yaakob yang kabur dipulihkkan Allah
8. Nabi Ayub dipulihkan Allah dari penyakit kulit yang dideritainya
9. Nabi Yunus selamat keluar dari perut ikan paus setelah berada di dalamnya selama 40 hari 40 malam
10. Laut Merah terbelah dua untuk menyelamatkan Nabi Musa dan pengikutnya dari tentera Firaun
11. Kesalahan Nabi Daud diampuni Allah
12. Nabi Sulaiman dikurniakan Allah kerajaan yang besar
13. Hari pertama Allah menciptakan alam
14. Hari Pertama Alllah menurunkan rahmat
15. Hari pertama Allah menurunkan hujan
16. Allah menjadikan ‘Arasy
17. Allah menjadikan Luh Mahfuz
18. Allah menjadikan Malaikat Jibril
19. Nabi Isa diangkat ke langit.

Oleh kerana terjadinya peristiwa-peristiwa yang mencerminkan kegemilangan bagi perjuangan yang gigih dan tabah dari menegakkan keadilah dan kebenaran dalam bulan Muharram ini, maka amalan berpuasa sunat adalah digalakkan kepada umat Islam. Antara mafhum Hadith Nabi SAW:

Sunat berpuasa pada Hari ke-Sepuluh.
Al-Imam at-Tarmizi telah meriwayatkan dari Abu Qutadah bahawa Rasulullah sallallahu alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: "Berpuasa pada hari 'Asyura akan termasuk dalam hitungan Allah bahawa puasa itu akan menutup dosa setahun sebelumnya".

Sunat berpuasa di Bulan Muharram
Kelebihan berpuasa di bulan Muharram sebagaimana diriwayatkan oleh al-Imam Muslim dari Abu Hurairah RA, Rasulullah sallallahu alaihi wasallam bersabda:
"Puasa yang utama (afdal) sesudah Ramadan ialah puasa di bulan Muharram".

Akhir kata, Selamat Menyambut Tahu Baru Hijrah 1435, Semoga Tahun Ini Lebih Berkat dari Sebelumnya buat kita semua. Aaamiiinn! Ampun dan maaf saya pinta buat keluarga, kenalan dan sahabat kerana diri ini tidak lari dari kesilapan.

Ehsan: Sheikh Google al-Imej
sila jengah juga entri berikutnya di http://sitinurulhusnahashim.blogspot.com/2013/11/checklist-perkara-sunat-pada-hari-asyura.html Terima Kasih daun keladi. :)

Sekian.

Wassalam wbt.

-----------------------------------------------------------------------------------------------

Rujukan: