Teks: Nurul Husna
Sesampainya di zoo, bas universiti
segera berlalu pergi.
“Haiii…koranggggg……” Anne menyambut
ketibaan kami pagi itu dengan gaya diva. Dia memandu sendiri dari KL. Ah, Anne!
Kadang-kadang dramatik juga dia ni. Semua sudah keletihan, maklumlah perjalanan
dari Pantai Timur ke Selatan bukannya sejam dua. Ada yang sudah mati kutu;
tidur-bangun-tidur-berdengkur-terkejut-tidur semula entah berapa pusingan.
Hari sudah beransur terik. Matahari
mula meninggi. Dia mengunjukkan sebuah banglo penginapan untuk kumpulan kami
menginap selama di zoo. Ini yang paling selesa katanya. Bangga betul muka Anne.
Sejurus masuk, kami semua terlopong.
Dedaunan kering memenuhi ruang tamu, bilik-bilik yang berdebu dan dapur yang
dipenuhi sayap kelkatu. Kena masuk dengan kasut. Rupanya seperti banglo
tinggal. Sayang sekali kerana perabot-perabot masih baru, bantal dan tilam ada
yang masih belum terbuka plastiknya. Mungkin kekurangan pekerja untuk
menyelenggara banglo yang mempunyai reka bentuk moden ini.
Baby sudah mula merengek. Dia
berlari keluar. Alergi habuk katanya. Maka tinggallah kami dan kakak-kakak
angkat seusia yang diangkatnya secara paksa-rela mencuci dan mengemas sekadar
untuk kami melelapkan mata malam ini. Ada yang menyumpah-nyumpah, biasalah
remaja. Sekejap menyumpah, sekejap ketawa, sekejap bertazkirah. Macam-macam
hal. Sedikit pengakuan. Sebenarnya, akulah yang paling menyumpah kerana aku dan
Sasha tercabut kertas undi untuk mencuci bilik keramat bagi mana-mana bangunan
iaitu tandas. Tercabut undi. “Ter”. Ya, baiklah. Reda, itu jalan yang terbaik. Fikir-fikir
biarlah kami yang mencuci. Biar sampai puas hati kami. Selepas ini, siapa ambil
ringan kebersihan tandas, kami boleh panah seorang demi seorang. Kami ketawa
jahat tetapi tutup mulut. Dalam tandas banyak bahaya daripada faedah. Besok
kami akan sambung lagi. Dapur belum boleh beroperasi. Geli.
Dapur masih lumpuh, jadi tiga orang perlu
keluar untuk membeli makanan bersama-sama Anne. Baby termasuk sekali. Sekarang
lima orang. Mujur kereta Anne besar boleh muatkan adik bongsu. Entah siapa
punya adik belum dapat diperjelaskan. Yang selebihnya, harap maklum; membibik
membasuh lantai pula. Semua kasut di’tai-chi’kan keluar dari dalam rumah. Sakan
juga kami membasuh, hingga jaga pintu belakang zoo datang menjenguk. Dia fikir ada
paip air yang pecah, rupanya ada kerja pembersihan. Dalam hati mesti suka. Ada sedozen
dua anak gadis bakal menyerikan zoo. Semangat ini yang dia perlu.
Lama
juga mereka yang keluar membeli makanan. Mahu kering lantai dan air di halaman
baru nampak kelibat. Nasi putih, ayam goreng kunyit dan kuah tom yam, sup
tulang berkongsi seorang sedikit. Sedikit tidaklah sedikit juga. Ada yang makan
seperti membela hantu raya. Biasalah; letih minda, letih mengerah tenaga dan
letih melepak. Siapa yang letih melepak? Yang paling comel itu lah. Tetapi normal
sebenarnya jikalau student kuat
makan. Yang kurang makan itu yang luar biasa.
“Ko
makan pe Baby, nak sikit?” Asfa mengagah.
“Nasik
goreng Pattaya...ehh duit I sendiri tau…” Suara pun bergumpal-gumpal dengan
makanan di dalam mulut. Baby, oh Baby!
Kami
geleng-geleng kepala sahaja tengok hiburan di depan mata. Bimbang juga nak
bersuka-suka keterlaluan. Siap-siap makan dan baca surah-surah pilihan, kami
semua beransur ke bilik menjunamkan diri ke katil masing-masing. Aku dapat
katil tingkat atas. Ah, gasaklah! Janji kena kipas. Berbunyi juga suara bagi yang
resah menyesuaikan diri di tempat baru. Ada yang masih bergayut dengan kekasih
di telefon bimbit. Baby sudah lama terbongkang, mungkin sudah merayau-rayau ke alam
mimpi. Apa-apa pun, mata mesti dipejamkan. Hari ini terasa berlalu dengan
pantas sekali. Hari esok bakal menjelma!
.jpg)
