Tugasan 7 : Latihan Naratif Berdasarkan Perkataan.
1. 30/09/2015 - haji
A. naratif latar masa
Aku masih ingat lagi waktu itu aku masih di darjah tiga. Sebulan lamanya emak menjahit jubah dan telekung untuk dibawa ke tanah suci. Kini, malam ini, emak dan abah sudah mahu berangkat menyahut seruan haji, mengamanahkan kami adik-beradik untuk dipelihara Tok Lang.
B. naratif latar tempat
Kami tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang. Sungguh canggih bangunan itu dengan lampu yang besar dan terang. Kaunter-kaunter kelihatan banyak sekali. Kerusi tempat menunggu masih belum cukup banyak untuk menampung jumlah ahli keluarga yang membanjiri hampir segenap ruang yang ada di sini. Tulisan dan sepanduk Lembaga Tabung Haji kelihatan di sana-sini untuk memudahkan jemaah haji membuat pendaftaran.
C. naratif latar masyarakat
Abang Molee, sepupuku yang sudah biasa terbang ke serata pelusuk dunia segera mendapatkan troli beroda untuk emak dan abah meletakkan beg mereka yang lebih besar daripada tubuhku. Ini pengalaman pertama emak dan abah menaiki kapal terbang kerana kami bukanlah daripada keluarga yang senang-lenang walaupun emak ialah seorang guru. Kami dibesarkan dalam suasana kampung dan emak amat menitikberatkan amalan berjimat-cermat. Kejanggalan kami sekeluarga tidak begitu ketara kerana jemaah haji yang sudah siap dengan pakaian ihram lebih mencuri perhatian setiap orang di sini.
D. naratif perasaan
Walaupun perasaanku sebak dan sedih sekali untuk melepaskan emak dan abah pergi menunaikan haji, aku tidak mampu berbuat apa-apa kerana aku hanyalah kanak-kanak. Urusan orang dewasa sudah tentu aku tidak boleh ikut campur. Berat sungguh perasaanku. Berbeza dengan adikku yang masih tidak mengerti apa-apa. Aku merenung wajah adik yang teruja melihat kerdipan lampu kapal terbang yang sedang bergerak di landasannya.
E. dialog
"Mak, kenapa kami tak boleh ikut mak dan abah pergi haji?" soalku apabila aku berpeluang. Tangan emak kugenggam erat seolah-olah tidak mahu melepaskan emak ke mana-mana.
No comments:
Post a Comment