Segarnya
perasaan di Subuh hari begini. Mandi dengan gel mandian aroma lavender. Warnanya
ungu, harum, lembut, tenang, nyaman seolah-olah bergolek-golek di atas hamparan
bunga-bungaan lavender. Ingatanku diterpa wajah Asfa
yang sudi berkongsi gel mandian ini waktu pertama kali kami menjejakkan kaki di zoo. Aku ini asalnya dari kampung di utara tanah air. Memang bermimpi jika aku hendak menggunakan gel mandian yang harganya boleh tahan mahal buat diriku yang masih bergelar pelajar. Jadi bau gel mandian yang istimewa ini memang terpahat dalam segenap sarafku hinggalah ke saat kisah ini ditulis.
Senyum aku dibuatnya terkenangkan hari-hari yang bagiku semuanya
menarik untuk disimpan sebagai kenangan. Ada juga adegan air mata, tetapi kini semua itu indah bagi diriku dan aku yakin sahabat-sahabatku juga begitu. Niat di hati hendak sambung bermalas-malasan di atas katil. Namun, semangat untuk mengabadikan kenangan ini lebih kuat lagi. Lantas kuselak satu per satu halaman rindu udara yang kusedut bersama secebis ingatan.
Masih
aku ingat lagi, Anne teman sebilikku di Mengabang Telipot, beriya-iya mengajak
dan berkempen agar kami menyertai program sukarelawan di zoo pada waktu
cuti semester. Kebiasaannya dia keluar paling awal dan pulang paling lambat ke asrama. Mungkin dia kurang betah tinggal di bilik kami yang sempit dan semuanya bercakap dengan loghat utara. Tetapi bila difikirkan kembali, sebenarnya Anne ini seorang yang bercita-cita tinggi. Sangat tinggi. Segala-galanya harus sempurna. Sedikit berbeza dengan aku, Sasha dan Mekyan yang ada peel gila-gila dan redah ikut suka hati sahaja.
"Eh, korang jadi kan nak pegi volunteer program ni?" soal Anne sebaik sahaja salamnya kami sahut. Kasut pun masih belum ditanggalkannya. Dia melangkah masuk ke bilik persis peragawati ber'cat-walk' di pentas peragaan. Ah, Anne memang lawa orangnya. Ada pesona yang tersendiri.
"Eh, korang dengar tak Anne tanya ni? Nama korang dah submit tau kat Prof. Rokiah, UK 8102, UK 8103 dan UK8104!" ujarnya tegas seraya nada suara sedikit mendesak. Selimut yang baru sahaja hendak ditarik terpaksa aku lupakan. Rasa mengantuk sudah tiada.
"Anne, ko biaq betui...cuti sem haritu aku tak balik kampung lah...please...aku takmau pi tau." Mekyan bersuara dari sebalik bantalnya. Anne diam sahaja sambil bersiap hendak ke bilik mandi.
"Wajib ka Anne?" soalku ringkas. Anne membalas dengan menganggukkan kepalanya.
Satu getaran kecil menandakan pesanan ringkas masuk ke telefonku. Sudah kujangka, pasti daripada Sasha. Biarpun sebilik, jika ada 'mesyuarat tingkap', kami mesti bijak gunakan teknologi.
"Weh, hang nak pi ka? Macam mana ni? Kalau kita tak pi apa yang jadi?" soalannya bertalu-talu. Lalu segera kubalas,
"Aku fifty-fifty la weh. Rasa malaih sungguh nak pi. Otak pikiaq nak balik ja ni!"
"Korang fikir masak-masak ye. Anne nak pegi mandi tau. Prof. Rokiah pesan, sesape yang tak nak pegi, nanti grad takde sijil, susah dapat keje," ujarnya lalu keluar dari bilik. Aduh, hendak korbankan waktu cuti melayan Pengurus Projek ini
merebut jawatan Ketua Program Sains Biologi memang masaklah!
Aku terjun dari tingkat atas katil double-decker itu. Sasha dan Mekyan sudah terpacak di atas katil masing-masing. Mata masing-masing membulat.
"Ha, hangpa dua pi tau. UK8103 tak boleh pi..sorry. Hangpa bincang dua na...cek tidoq dulu na." Mekyan tersengeh-sengeh sambil merejam kepala kembali ke bawah bantal meninggalkan kami yang tergaru-garu kepala, tangan, kaki, pipi dan dahi yang tidak gatal.
Sasha mulai mundar-mandir memikir alasan dan aku pula berkungfu melempiaskan perasaan geram terhadap lab-coat Anne yang digantung di lokarnya.
"Tak dapat tuan, baju pon boleh lah!" Itu cakap-cakap sisi
kejahatan yang ada dalam diriku tetapi ciri-ciri malaikat cepat-cepat
mengingatkan aku bahawa ada untungnya jika mencuba sesuatu yang baru.
Diringkaskan cerita, strategi dan cubaan membatalkan program ditepis bijak oleh Anne yang mendapat sokongan padu daripada Cik Rocky. Dalam
pada mulut mencebik-cebik, terjuih-juih, siaplah juga beg kami kemaskan dan kesimpulannya kami pun berangkatlah ke zoo bersama-sama tiga belas rakan
sekuliah yang lain dan kisah kami berempat pun bermula.
No comments:
Post a Comment