Bismillah
Assalamualaikum WBT
Saya bukan pakar kanak-kanak jauh sekali pakar psikologi, emak yang hendak tunjuk super atau apa saja, TETAPI saya kenal benar anak-anak saya. Saya TIDAK biasakan mereka dengan geletekan dan menyentuh/meraba/menarik/mencuit/menjemput/menggosok, meng-uli mereka di tempat-tempat sensitif. Pelukan dan ciuman adalah yang selalu diamalkan.
Untuk penjelasan, sebagai orang yang lebih dewasa rasanya kita telah sedia maklum tempat-tempat mana yang dikategorikan sebagai tempat sensitif. tempat mana yang geli, tempat mana yang 'geli'. Bahkan hendak membasuh kencing berak anak-anak ini saya minta izin daripada mereka walaupun masih tidak tahu berbahasa (bukan hendak tunjuk saya suci). Saya memang 'psiko' kerana menganggap mereka ini 'tidak mampu' jadi tanggungjawab saya sebagai orang tua tolong basuhkan najis mereka hingga mereka terbit akal dan mampu untuk melakukannya sendiri.
Yang menariknya, anak-anak saya MAMPU ketawa jika sekadar diacah, diagah biarpun tiada sentuhan/perlakuan yang menyebabkan mereka GELI. Sekiranya anda fikir anak-anak saya mampu untuk ketawa disebabkan geletekan anda, makanya perbuatan anda itu tidak terpakai buat anak-anak saya bahkan bakal menyebabkan mereka mengamuk dengan teruk. Saya tahu kerana saya bersama mereka bukan anda. Biar saya terangkan lagi semoga lebih jelas dengan contoh ini:
1) Kita sabun anak kecil dan menyapunya ke seluruh badan termasuk tempat sulit semasa memandikannya dan kemudian menyapunya lagi untuk membersihkan sabun dan dirinya. INI PATUT.
2) Semasa menyabun tiba-tiba terasa geram melihat n*n*n/ punggung/ alat sulit anak kecil itu, lalu kita picit/tekan/cubit sekali/banyak kali di situ. INI TIDAK PATUT.
Sekali lagi, perlakuan apapun, jikalau disertai dengan 'kegeraman' itu: TIDAK PATUT. Yang melakukannya sahaja yang tahu. itu rahsia dia dengan DIA. untuk memahamkan rahsia hati itu, mohonlah pada Dia, Dia yang Memiliki segala rahsia.
Ingin dijelaskan di sini, saya ingin anak-anak saya membesar menjadi anak-anak yang tahu erti memelihara kehormatan diri. Jikalau sedari kecil terbiasa disentuh dengan sesukahati, apabila besar bagaimanakah pula runtunan meminta disentuh di sana dan di sini? Usah memandai-mandai mengaktifkan deria yang menerbitkan nafsu, jikalau anda/ anak sendiri suka diperbuat/melihat orang lain contohnya: menarik-narik 'n*n*n/ t*t*k' , itu terpulang tetapi bukan saya. Maaf. Hatta tubuh badan yang bergelar mayatpun perlu kita mohon izinnya untuk dimandikan dan mohon maaf daripadanya sebelum dibasuh di tempat-tempat sulit, inikan pula yang bernyawa, insan kecil yang perlu dilindungi dan diasuh dengan penuh tanggungjawab dan hormat.
Seronok dan lega setelah melepaskan geram terhadap bayi dan kanak-kanak? Sebelum nafsu yang terbit itu dilempiaskan terhadap mereka, eloklah beristigfar, jika tidak boleh, esok puasa sahaja. Mereka permata hati, kain putih, rezeki, anugerah dan adakah sesuai melayan mereka untuk melepaskan 'dendam' nafsu yang bangkit tidak mengira masa kita itu? Sebenarnya mereka ini lebih sensitif daripada kita orang dewasa yang telah kayu deria rasanya. Jika bayi sekecil-kecilnya tahu 'rasa' duduk di ribaan ibu ataupun orang yang bukan ibunya, mana mungkin mereka TIDAK RASA APA-APA jika dicuit di n*n*nnya? Kenapa boleh pula terluak jika terkena disitu? Itu jika tidak sengaja terkena, ini jika SENGAJA DIULI, mana tidak termuntahnya anak itu? Saya akan perjuangkan isu ini, biarpun lambat, biarpun ramai yang akan termengkelan, tercekik, marah dan memulaukan saya, tidak mengapa.
Hal ini tidak ada di dalam al-Quran? belum juga terbit dari tulisan sarjana-sarjana barat. benar, saya tidak nafikan, begitu juga dengan hukumnya merokok dan menagih dadah, juga tidak tertulis di dalam al-Quran tetapi telah disahkan sebagai HARAM. Sarjana barat? ""Gaya, mutu, keunggulan"" mereka ini telah mencilok dan menyorokkan apa yang baik dan didedahkan hanya cukup untuk buatkan mereka nampak terpelajar dan menjadi ikutan dunia tetapi lain pula yang diamalkan mereka. "Relakslah, orang ****** semua buat begitu" Ops, maaf saya Orang Islam, saya tidak ikut orang ******.
Isu ini dipandang sepi, entah mungkin terlalu berat, terasa, pernah melakukan atau pernah alami sendiri. Sukar dibincangkan kerana kita begitu 'segan' atau 'malu' bicara berkaitan nafsu. Bicara sahaja telah meleleh air liur, bagaimana pula jika kena/terkena/mengena? jikalau gadis/ teruna atau kita yang dewasa yang disentuh secara tidak hormat ini, satu laporan polis boleh dibuat, bagaimana pula dengan bayi dan kanak-kanak yang tidak pandai berkata-kata? Orang dewasa yang berakal, yang belajar tinggi-tinggi, yang berpengalaman dengan kanak-kanaklah yang perlu melindungi tetapi seronok pula melihat golongan yang tidak berdaya ini menggeletis kemudian mengamuk untuk mengadu kepada ibubapanya namun tidak pandai melontar bicara. Jikalau mungkin mereka TIDAK MERASA APA-APA, berkemungkinan juga MEREKA MERASA APA-APA.
Pernah dengar ibu-bapa mengeluh, susahnya hendak tidurkan anak. DI RUMAH PENGASUH/ dengan bibik, MUDAH pula lena. Fikirlah positif hingga yang terburuk tertayang di hadapan mata sendiri. Nasihat yang masuk ke dalam kepala saya, "Budaya orang tidak sama" "Budak mungkin tidak rasa apa-apa" "Jangan fikir lebih-lebih", " Bukan kena rogol pun" ataupun ketawa terbahak-bahak mendengar perihal ini. Pernah sampai ke telinga ini, anak kecil yang tidak berdosa lena terkulai kerana dihisap di tempat sulitnya oleh pengasuh yang 'mempunyai budaya yang tidak sama' dengan kita, tetapi sangat sukar ditidurkan oleh ibubapanya sendiri. Oh, MUNGKIN ANAK KECIL ITU TIDAK MERASA APA-APA.
Itu isu jika anak kecil yang diperlakukan begitu, namun jika remaja pula yang diraba, yang digeletek dikatakan pula bergurau. Dimarahnya kita katanya 'tidak sporting' 'tidak open' 'hati kotor'. 'Kecil-kecil dulu masa orang lain basuhkan berak tak apa pula' Astagfirullahal'azim. Sesungguhnya kefahaman itu dariNya jua.
Jika kita yang terkena begini, boleh kita suarakan dengan berlapik atau cakap biar si pelaku faham dan faham serta faham. Memang berulang-ulang perlu dinyatakan, kalau tidak berbelas kali mungkin berpuluh kali saya tidak pasti kerana ada yang faham cakap berlapik, ada yang perlu dinyatakan secara terang-terangan dan ada yang perlu terpukul dengan kata-kata baru timbul kesedaran biarpun hanya menayangkan drama di hadapan kita di belakang tetap begitu. Itu dia dengan Allah SWT. Saya berusaha sedaya upaya, dan yang tetap ingin perkara ini berlaku hanya Dia dan pengajarannya buat saya. Mungkin perlu tambah dos.
Saya menulis demi Allah SWT dan saya terima kata-kata "sudah gila" dan "berkawan dengan syaitan" itu dan semoga Allah SWT jualah yang menilainya. Malam ini saya hadap 'tantrum' dengan pengalaman yang ada. Terima kasih buat yang membantu saya membajak pahala. Al-Fatihah.
Sekian,
Wassalam.
=================================
Penulis menulis demi hak bayi dan kanak-kanak.
Subhanallah...saya sangat kagum dengan entry dan kupasan topik ini. Tidak pernah saya membaca kupasan topik ini. Bukan sedikit kita dengar kes-kes rogol anak-anak kecil ini. Dan, dalam TV juga selalu dipaparkan kisah-kisah perogol atau penjenayah seks lain terbentuk kerana pengalaman mereka sedari kecil. Terima kasih banyak atas kupasan ini.
ReplyDeleteMasyarakat kita malu agaknya..selalunya bila saya utara hal ini, saya dianggap beremosi Maria, walhal kita cuba mengajak mereka berfikir..kemungkinan besar kesan kerosakan emosi kepada mangsa ialah 1) jadi sangat introvert, mangsa berkali-kali, hidup terumbang-ambing kerana tertekan 2) jadi sebaliknya, nafsu yang tidak terkawal dan tidak syak lagi contoh yang diberikan adalah yang tidak baik padanya.
ReplyDelete