Teks: Snh Nurulhusna
Bismillah
Assalamualaikum WBT
Hari Raya Aidil Adha baru sahaja berlalu. Pasti banyak pengalaman yang boleh kita perolehi sepanjang menyambut perayaan ini.
Kejadian runtuhan kren yang berlaku di Mekah Al-Mukarramah yang meragut nyawa beberapa orang rakyat Malaysia dan negara-negara lain menjadi lebih pilu dengan kejadian rempuhan pula di Mina. Di tengah-tengah kejadian ini, ada juga terselit satu dua kejadian kebakaran di hotel penginapan dan khemah jemaah haji yang sedang menjalani ibadah Wukuf di Arafah.
Pengalaman ahli keluarga dan sahabat handai yang turut sama di tempat kejadian pastilah tidak sama dengan keadaan kita di sini. Walaupun cubit paha kanan paha kiri terasa juga, pasti lebih berat bahu yang memikul daripada kita yang hanya memandang.
Apa pun yang terjadi, kita haruslah bersyukur dan reda dengan ketentuanNya dan berusaha memperbaiki apa jua kesalahan yang telah kita lakukan.
Pengalaman menyambut Hari Raya Aidil Adha pada tahun ini tenang-tenang sahaja. Cuaca pula tidak terlalu panas dan anak-anak pula tidak banyak meragam. Saat menariknya ialah apabila tiba saat menguruskan daging-daging korban. Paling mengujakan ialah pada tahun ini saya kembali tercalon untuk membersihkan perut lembu.
Tunduk, Senyum dan Bersyukur.
Tiga jam juga saya menghadap perut lembu itu! Ketawa sahajalah. Jika hendak dibiarkan, pasti rugi. Baunya, Subhanallah, tetapi apabila bersih dan diperap dengan rempah-ratus untuk dijadikan sate........
Ya..masing-masing berebut sehingga menjilat jari. Alhamdulillah. Tender menguruskan perut lembu sehingga selamat ke perut manusia telah saya selesaikan dengan jayanya. Syukur.
Itu kenangan yang seronok. Ada juga kenangan yang kurang enak terpaksa saya lalui. Sepanjang perjalanan pulang, kereta berjujuk dan bergerak pada kadar 20-30 km/j! Itu tidak mengapa. Perkara biasalah kata orang apabila tiba musim perayaan. Yang tidak biasanya ialah, kami terpandang seorang wanita bersama anak kecil yang sedang duduk di tepi jambatan.
Pada mulanya, saya menyangkan itu ialah seorang nenek dengan cucunya. Segera saya meminta suami memberhentikan kereta dan bertanya apakah yang telah terjadi. Subhanallah! Wanita itu telah dipaksa turun oleh suaminya! Dengan beg bimbit dan anak kecil yang masih tidak tahu apa-apa. Mereka pun kelihatan buntu.
Saya tidak mahu ceritakan apa yang terjadi selepas itu, tetapi, persoalannya,
Dimanakah kesyukuran rakyat Malaysia? Di saat-saat Umat Islam negara-negara lain sedang bergolak dan dihalau dari tanah air, dibunuh di tanah sendiri, mengapakah kita masih tega untuk menganiaya sesama kita? Sadis. Sungguh sadis. Sepatutnya wanita yang melahirkan anak dan anak kecil yang belum berakal kita santuni dan kasihi.
Itulah yang mendetikkan hati saya.."Kalaulah aku superwoman"...
Mood terganggu..masih teringat-ingat wajah wanita dan anak kecil itu.
Sekian
Wassalam WBT