Tuesday, 25 March 2014

MH370; Sebuah Tribulasi Buat Umat Manusia

Teks: Snh Nurulhusna

Imej: Carian Google

Bismillah

Assalamualaikum WBT



Hidup perlu diteruskan, maafkan saya kawan kawan sekalian.

Bersiap-sedialah dengan orang-orang yang kita sayang. Anggaplah ujian MH370  ini sebagai 'suntikan antibiotik'. Jika kita tidak ada pengalaman berhadapan dengan kejutan dan kesedihan, mungkin nanti kita tidak bisa tabah dengan ujian yang lebih besar untuk umat akhir zaman ini.

Sesungguhnya tiada daya dan upaya melainkan DaripadaNya jua. Kepada Allah SWT kita mohon perlindungan, keampunan dan belas kasihan.

Sesungguhnya kerja dakwah itu sifatnya harus kental, berkelangsungan. Di situ kuncinya. Besar mana hasilnya bukan ukuran tetapi sejauh mana perjalanan itulah bekalan yang boleh menjadi saksi di padang soaljawab kelak.

Tinta ini jauh sekali ingin menakut-nakutkan kalian namun rasa hati ini amat gelisah jika tidak diluahkan. Semoga pesanan ringkas ini berguna buat hati-hati yang mendambakan kebenaran, Insha Allah.

Sekian

Wassalam WBT




Sunday, 12 January 2014

Ubat Selsema Untuk Anak?

Teks: Snh Nurulhusna

Bismillah

Assalamualaikum WBT

Semalaman Abdullah tidak tidur kelmarin. Rupanya dia ketat hidung dan mungkin badannya sengal-sengal seperti kita jugalah jika selsema mula menyerang. Anak sekecil ini, apa yang dia tahu. Kasihan dia kerana berulang alik sekejap menghimpit Omi, sekejap bangun ke pangkuan Abi.

Maafkan kami anak, kami ibubapa yang masih belajar lagi. Masih banyak kekurangan. Awal pagi begini, hendak ke kedai membeli kunyit hidup pun tidak ada yang beroperasi. Semasa menaip ini baru teringatkan bawang putih yang dijadikan ubat sapuan di dada dan di pangkal hidung. Cara tradisional yang berkesan untuk Abdullah. Maafkan Omi, sungguh Omi jadi gelabah biawak anakanda menangis dan merengek tidak berhenti-henti.

Sepengatahuan Omi, bila membaca poster-poster di hospital, ubat selsema tidak boleh diberikan kepada kanak-kanak dan bayi di bawah usia dua tahun. Setelah bertanya kepada kawan-kawan doktor, barulah Omi tahu ada ubat yang khusus untuk dititiskan ke dalam hidung anak-anak.

Berikut adalah perbincangan di Facebook mengenai topik ini:
Sila klik untuk imej yang lebih jelas.

Semoga perkongsian ini memberi sedikit pencerahan kepada ibubapa di luar sana. Insha Allah kita cuba jadi yang terbaik untuk mereka. Cari ilmu untuk tidak mendedahkan mereka kepada bahaya. Astaqfirullahal'azim.

Sekian,

Wassalam WBT

Saturday, 11 January 2014

Kata Sendi 'di'

Teks: Snh Nurulhusna 

Bismillah

Assalamualaikum WBT

Berikut ialah tugasan tatabahasa Kata Sendi ‘di’ yang bertemu dengan Kata Kerja dan Kata Nama. 'di' apabila bertemu dengan Kata Kerja perlu disambung manakala 'di' yang bertemu Kata Nama perlu dijarakkan. Semoga ini membantu supaya saya dan kawan-kawan lebih berhati-hati ketika menulis. Insha Allah.

E-book: Cerpen 30.05.04

‘di’ bertemu ‘Kata Kerja’
ditulis  
diolah 
disunting 
dimuatkan 
dibalas 
diselesaikan 
disokong 
dikhianati
dibatasi 
dituju 
dikhabarkan 
ditanya 
diterima

‘di’ bertemu ‘Kata Nama’

di bibir 
di pejabat 
di atas 
di singki
di talian 
di Bukit Baru 
di dalam  
di sini 
di sana


E-book: Cerpen Lara Hati

‘di’ bertemu ‘Kata Kerja’

ditulis  
diperkatakan 
dikatakan 
didakwa 
dilepaskan 
dibendung 
dimintanya 
disabarkan 
dicurahkan 
dihulur 
dipaut 
dihilangkan 
dihempas 
ditahan 
dipedulikan 
diungkap 
dirasa 
dikesat 
disyaki 
ditahan 
diusap 
dicium 
disabit 
dijatuhkan 
diperbetulkan 
ditolak 
dijelingnya 
dikeluarkan 
dilipat 
dimasukkan 
ditinggalkan 
dihantui 
ditetapkan 
ditenangkan
dihimpit 
dikumpul 
ditanggung 
dipertontonkan 
diterimanya 
dibebaskan 
digambarkan 
dijunjung 
diumumkan 
diduga 
dilembutkan 
dipujuk 
ditutup 
dihimpit 
diberi 
dihantui 
dilukakan 
dikhianati 
dikenalinya 
dibuat 
diubah 
dicari 
diperdaya

‘di’ bertemu ‘Kata Nama’

di hati 
di dadanya 
di hujung  
di atas 
di hadapannya 
di mahkamah 
di sofa 
di dinding 
di rumah 
di dalam 
di sisi 
di hadapan 
di masjid 
di tepi

Sekian, 

Wassalam WBT




Thursday, 9 January 2014

Eksplorasi Lontaran dan Balingan Abdullah

Teks: Snh Nurulhusna

Bismillah

Assalamualaikum WBT

Abi sudah pulang, seronoknya Abdullah dan Lina, dua-dua berhimpit dengan Abi pula melepaskan kerinduan. Hari ini Abi tambah seekor lagi kucing mainan untuk Abdullah. Bertambah seronoklah Abdullah; Adik Lina pun  senyum-senyum melihat kucing yang terkodek-kodek itu.

Alkisah semalam, sebuah gelas dicampak Abdullah dan malam ini sebuah kole pula dicampaknya. Barang yang pecah itu kami tidak kisah kerana lumrah benda baharu memang ada ajal mautnya. Yang dirisaukan ialah serpihan kaca yang terpelanting jika tidak dibersihkan dengan elok alamatnya lukalah kaki si kecil ataupun kami berdua.

Saya faham peringkat umur seperti ini kanak-kanak sedang mengeksplorasi bunyi-bunyian dan impak perbuatan mereka yang melontar, membaling, memicit, menyepak dan sebagainya. Bila dilontar, mereka memerhati ke manakah objek tersebut pergi. Jika pecah mereka ingin mengutip serpihannya. Selagi tidak puas hati, selagi itulah mereka akan mengulangi perlakuan tersebut. Macam-macam gaya yang keluar. Biarlah kerana ini melatih koordinasi dan kinestetik tubuh badannya.

Nampaknya, jika ada rezeki lebih, bolehlah kami beli pinggan mangkuk berasaskan plastik selepas ini. Keluaran Tupperware pun nampak cantik juga kan Abi? Kena pulun buat promosi untuk kelas-kelas online, Insha Allah tercapailah hasrat hendak dapatkan perkakas rumah yang selamat untuk kanak-kanak. Orang perempuan macam inilah, otak fokus kepada hendak membeli sahaja. Gelak sekejap sebagai tanda penutup entri malam ini.

Sekian,

Wassalam WBT

Monday, 6 January 2014

Kunjungan Rahmat

Teks: Snh Nurulhusna

Bismillah

Assalamualaikum WBT

Seronoknya hari ini Tok Wan dan Tok datang melawat Abdullah dan Lina. Setibanya di rumah sewa kami, Tok Wan duduk sekejap dan beransur ke masjid yang setentang dengan rumah ini. Kuliah Maghrib oleh Ustaz Halim Nassir. Penceramah kegemaran sekeluarga.

Mikrofonnya memang ditala kesini, jadi saya di rumah sangat beruntung, sambil buat kerja rumah dengar ustaz-ustaz mengajar saban hari. Tok datang bawakan rendang daging, buah pisang kaki dan kek. Apa lagi melompat-lompat Abdullah sekejap ke sana sekejap ke sini tunjuk bakat apa yang ada kepada Tok.

Sekembalinya Tok Wan, lagi hebat Abdullah buat persembahan, siap dengan belon, pen dan teknik-teknik lompatan yang dia sudah cekap benar. Puas kami tergelak dengan acara Abdullah malam ini.

Begitulah anak kecil yang masih belajar melontarkan kata-kata. Rasa hati ditonjolkan melalui perlakuannya. Terima kasih mak, terima kasih ayah. Jasa ayahbonda berdua tidak mampu saya balas. Walau syurga telah beralih arah, namun di hati tetap sama.

Wallauhu'alam

Sekian

Wassalam WBT

Sebelum Mata Terlena

Teks: Snh Nurulhusna

Bismillah

Assalamualaikum WBT

"Dengarkan" dendangan nasyid dari Hijjaz- Sebelum Mata Terlena.

Sebelum mata terlena
Di buaian malam gelita
Tafakurku di pembaringan
Mengenangkan nasib diri

Yang kerdil lemah dan bersalut dosa
Mampukah ku mengharungi titian sirat nanti
Membawa dosa yang menggunung tinggi
Terkapai ku mencari limpahan hidayahMu

Agar terlerai kesangsian hati ini
Sekadar air mata tak mampu
Membasuhi dosa ini

Sebelum mata terlena
Dengarlah rintihan hati ini
Tuhan beratnya dosaku
Tak daya kupikul sendiri

Hanyalah rahmat dan kasih sayangmu
Yang dapat meringankan hulurkan maghfirahmu
Andainya esok bukan milikku lagi
Dan mata pun ku tak pasti akan terbuka lagi

Sebelum berangkat pergi ke daerah sana
Lepaskan beban ini
Yang mencengkam jiwa dan ragaku

Selimuti diriku
Dengan sutra kasih sayangmu
Agar lena nanti kumimpikan
Syurga yang indah abadi

Pabila ku terjaga
Dapat lagi kurasai
Betapa harumnya
Wangian syurga Firdausi.. Oh Ilahi

Di sepertiga malam
Sujudku menghambakan diri
Akan kuteruskan pengabdianku padamu


Usah kita mengutuk perihal masa yang tidak pernah cukup. Mana mungkin Tuhan Yang Maha Mengasihani membebankan manusia yang serba lemah ini dengan masa yang singkat. Yang singkat itu bukan masa tetapi pemikiran insan yang sinonim dengan sifat pelupa dan penuh kekurangan.

Bukan mengata orang tetapi lebih kepada menempelak diri sendiri sebenarnya. Wallahu'alam.

Sekian,

Wassalam WBT

Saturday, 4 January 2014

Menyuap Ego

Teks: Snh Nurulhusna

Bismillah

Assalamualaikum WBT

Saya bukan pakar kanak-kanak jauh sekali pakar psikologi, emak yang hendak tunjuk super atau apa saja, TETAPI saya kenal benar anak-anak saya. Saya TIDAK biasakan mereka dengan geletekan dan menyentuh/meraba/menarik/mencuit/menjemput/menggosok, meng-uli mereka di tempat-tempat sensitif. Pelukan dan ciuman adalah yang selalu diamalkan.

Untuk penjelasan, sebagai orang yang lebih dewasa rasanya kita telah sedia maklum tempat-tempat mana yang dikategorikan sebagai tempat sensitif. tempat mana yang geli, tempat mana yang 'geli'. Bahkan hendak membasuh kencing berak anak-anak ini saya minta izin daripada mereka walaupun masih tidak tahu berbahasa (bukan hendak tunjuk saya suci). Saya memang 'psiko' kerana menganggap mereka ini 'tidak mampu' jadi tanggungjawab saya sebagai orang tua tolong basuhkan najis mereka hingga mereka terbit akal dan mampu untuk melakukannya sendiri.

Yang menariknya, anak-anak saya MAMPU ketawa jika sekadar diacah, diagah biarpun tiada sentuhan/perlakuan yang menyebabkan mereka GELI. Sekiranya anda fikir anak-anak saya mampu untuk ketawa disebabkan geletekan anda, makanya perbuatan anda itu tidak terpakai buat anak-anak saya bahkan bakal menyebabkan mereka mengamuk dengan teruk. Saya tahu kerana saya bersama mereka bukan anda. Biar saya terangkan lagi semoga lebih jelas dengan contoh ini:

1) Kita sabun anak kecil dan menyapunya ke seluruh badan termasuk tempat sulit semasa memandikannya dan kemudian menyapunya lagi untuk membersihkan sabun dan dirinya. INI PATUT.

2) Semasa menyabun tiba-tiba terasa geram melihat n*n*n/ punggung/ alat sulit anak kecil itu, lalu kita picit/tekan/cubit sekali/banyak kali di situ. INI TIDAK PATUT.

Sekali lagi, perlakuan apapun, jikalau disertai dengan 'kegeraman' itu: TIDAK PATUT. Yang melakukannya sahaja yang tahu. itu rahsia dia dengan DIA. untuk memahamkan rahsia hati itu, mohonlah pada Dia, Dia yang Memiliki segala rahsia.

Ingin dijelaskan di sini, saya ingin anak-anak saya membesar menjadi anak-anak yang tahu erti memelihara kehormatan diri. Jikalau sedari kecil terbiasa disentuh dengan sesukahati, apabila besar bagaimanakah pula runtunan meminta disentuh di sana dan di sini? Usah memandai-mandai mengaktifkan deria yang menerbitkan nafsu, jikalau anda/ anak sendiri suka diperbuat/melihat orang lain contohnya: menarik-narik 'n*n*n/ t*t*k' , itu terpulang tetapi bukan saya. Maaf. Hatta tubuh badan yang bergelar mayatpun perlu kita mohon izinnya untuk dimandikan dan mohon maaf daripadanya sebelum dibasuh di tempat-tempat sulit, inikan pula yang bernyawa, insan kecil yang perlu dilindungi dan diasuh dengan penuh tanggungjawab dan hormat.

Seronok dan lega setelah melepaskan geram terhadap bayi dan kanak-kanak? Sebelum nafsu yang terbit itu dilempiaskan terhadap mereka, eloklah beristigfar, jika tidak boleh, esok puasa sahaja. Mereka permata hati, kain putih, rezeki, anugerah dan adakah sesuai melayan mereka untuk melepaskan 'dendam' nafsu yang bangkit tidak mengira masa kita itu? Sebenarnya mereka ini lebih sensitif daripada kita orang dewasa yang telah kayu deria rasanya. Jika bayi sekecil-kecilnya tahu 'rasa' duduk di ribaan ibu ataupun orang yang bukan ibunya, mana mungkin mereka TIDAK RASA APA-APA jika dicuit di n*n*nnya? Kenapa boleh pula terluak jika terkena disitu? Itu jika tidak sengaja terkena, ini jika SENGAJA DIULI, mana tidak termuntahnya anak itu? Saya akan perjuangkan isu ini, biarpun lambat, biarpun ramai yang akan termengkelan, tercekik, marah dan memulaukan saya, tidak mengapa.

Hal ini tidak ada di dalam al-Quran? belum juga terbit dari tulisan sarjana-sarjana barat. benar, saya tidak nafikan, begitu juga dengan hukumnya merokok dan menagih dadah, juga tidak tertulis di dalam al-Quran tetapi telah disahkan sebagai HARAM. Sarjana barat? ""Gaya, mutu, keunggulan"" mereka ini telah mencilok dan menyorokkan apa yang baik dan didedahkan hanya cukup untuk buatkan mereka nampak terpelajar dan menjadi ikutan dunia tetapi lain pula yang diamalkan mereka. "Relakslah, orang ****** semua buat begitu" Ops, maaf saya Orang Islam, saya tidak ikut orang ******.

Isu ini dipandang sepi, entah mungkin terlalu berat, terasa, pernah melakukan atau pernah alami sendiri. Sukar dibincangkan kerana kita begitu 'segan' atau 'malu' bicara berkaitan nafsu. Bicara sahaja telah meleleh air liur, bagaimana pula jika kena/terkena/mengena? jikalau gadis/ teruna atau kita yang dewasa yang disentuh secara tidak hormat ini, satu laporan polis boleh dibuat, bagaimana pula dengan bayi dan kanak-kanak yang tidak pandai berkata-kata? Orang dewasa yang berakal, yang belajar tinggi-tinggi, yang berpengalaman dengan kanak-kanaklah yang perlu melindungi tetapi seronok pula melihat golongan yang tidak berdaya ini menggeletis kemudian mengamuk untuk mengadu kepada ibubapanya namun tidak pandai melontar bicara. Jikalau mungkin mereka TIDAK MERASA APA-APA, berkemungkinan juga MEREKA MERASA APA-APA.

Pernah dengar ibu-bapa mengeluh, susahnya hendak tidurkan anak. DI RUMAH PENGASUH/ dengan bibik, MUDAH pula lena. Fikirlah positif hingga yang terburuk tertayang di hadapan mata sendiri. Nasihat yang masuk ke dalam kepala saya, "Budaya orang tidak sama" "Budak mungkin tidak rasa apa-apa" "Jangan fikir lebih-lebih", " Bukan kena rogol pun" ataupun ketawa terbahak-bahak mendengar perihal ini. Pernah sampai ke telinga ini, anak kecil yang tidak berdosa lena terkulai kerana dihisap di tempat sulitnya oleh pengasuh yang 'mempunyai budaya yang tidak sama' dengan kita, tetapi sangat sukar ditidurkan oleh ibubapanya sendiri. Oh, MUNGKIN ANAK KECIL ITU TIDAK MERASA APA-APA.

Itu isu jika anak kecil yang diperlakukan begitu, namun jika remaja pula yang diraba, yang digeletek dikatakan pula bergurau. Dimarahnya kita katanya 'tidak sporting' 'tidak open' 'hati kotor'. 'Kecil-kecil dulu masa orang lain basuhkan berak tak apa pula' Astagfirullahal'azim. Sesungguhnya kefahaman itu dariNya jua.

Jika kita yang terkena begini, boleh kita suarakan dengan berlapik atau cakap biar si pelaku faham dan faham serta faham. Memang berulang-ulang perlu dinyatakan, kalau tidak berbelas kali mungkin berpuluh kali saya tidak pasti kerana ada yang faham cakap berlapik, ada yang perlu dinyatakan secara terang-terangan dan ada yang perlu terpukul dengan kata-kata baru timbul kesedaran biarpun hanya menayangkan drama di hadapan kita di belakang tetap begitu. Itu dia dengan Allah SWT. Saya berusaha sedaya upaya, dan yang tetap ingin perkara ini berlaku hanya Dia dan pengajarannya buat saya. Mungkin perlu tambah dos.

Saya menulis demi Allah SWT dan saya terima kata-kata "sudah gila" dan "berkawan dengan syaitan" itu dan semoga Allah SWT jualah yang menilainya. Malam ini saya hadap 'tantrum' dengan pengalaman yang ada. Terima kasih buat yang membantu saya membajak pahala. Al-Fatihah.

Sekian,

Wassalam.


=================================

Penulis menulis demi hak bayi dan kanak-kanak.