Monday, 2 November 2015

Doa Mengiringi Para Pelajar SPM 2015

Teks: Snh Nurulhusna

Bismillah
Assalamualaikum WBT

Semalaman saya tidak dapat lelapkan mata. Teringat-ingat para pelajar yang bakal menduduki SPM pada awal pagi ini.

Alhamdulillah soalannya mampu dijawab oleh mereka. Kecualilah yang selalu tak datang kelas dan datang kelas untuk pakai Wi-Fi sahaja. Apapun Bahasa Melayu Kertas I sudah berlalu. Sekarang sedang berlangsung kertas II pula.

Semoga Allah SWT Mempermudahkan semuanya. Amiinnn..

Antara tajuk soalan karangan yang sudah dijangkakan ialah soalan nombor 1. Sebuah laporan sukarelawan membantu mangsa bencana alam. Bahagian A pula faedah mengadakan sambutan hari guru. Alamdulillah. Cikgu senyum dan balik dengan hati yang tenang.

Petang cikgu tak jenguk dah. Haha!

Sekian,

Wassalam WBT

Friday, 2 October 2015

Aidil Adha 2015

Teks: Snh Nurulhusna

Bismillah

Assalamualaikum WBT

Hari Raya Aidil Adha baru sahaja berlalu. Pasti banyak pengalaman yang boleh kita perolehi sepanjang menyambut perayaan ini.

Kejadian runtuhan kren yang berlaku di Mekah Al-Mukarramah yang meragut nyawa beberapa orang rakyat Malaysia dan negara-negara lain menjadi lebih pilu dengan kejadian rempuhan pula di Mina. Di tengah-tengah kejadian ini, ada juga terselit satu dua kejadian kebakaran di hotel penginapan dan khemah jemaah haji yang sedang menjalani ibadah Wukuf di Arafah.

Pengalaman ahli keluarga dan sahabat handai yang turut sama di tempat kejadian pastilah tidak sama dengan keadaan kita di sini. Walaupun cubit paha kanan paha kiri terasa juga, pasti lebih berat bahu yang memikul daripada kita yang hanya memandang.

Apa pun yang terjadi, kita haruslah bersyukur dan reda dengan ketentuanNya dan berusaha memperbaiki apa jua kesalahan yang telah kita lakukan.

Pengalaman menyambut Hari Raya Aidil Adha pada tahun ini tenang-tenang sahaja. Cuaca pula tidak terlalu panas dan anak-anak pula tidak banyak meragam. Saat menariknya ialah apabila tiba saat menguruskan daging-daging korban. Paling mengujakan ialah pada tahun ini saya kembali tercalon untuk membersihkan perut lembu.

Tunduk, Senyum dan Bersyukur.

Tiga jam juga saya menghadap perut lembu itu! Ketawa sahajalah. Jika hendak dibiarkan, pasti rugi. Baunya, Subhanallah, tetapi apabila bersih dan diperap dengan rempah-ratus untuk dijadikan sate........

Ya..masing-masing berebut sehingga menjilat jari. Alhamdulillah. Tender menguruskan perut lembu sehingga selamat ke perut manusia telah saya selesaikan dengan jayanya. Syukur.

Itu kenangan yang seronok. Ada juga kenangan yang kurang enak terpaksa saya lalui. Sepanjang perjalanan pulang, kereta berjujuk dan bergerak pada kadar 20-30 km/j! Itu tidak mengapa. Perkara biasalah kata orang apabila tiba musim perayaan. Yang tidak biasanya ialah, kami terpandang seorang wanita bersama anak kecil yang sedang duduk di tepi jambatan.

Pada mulanya, saya menyangkan itu ialah seorang nenek dengan cucunya. Segera saya meminta suami memberhentikan kereta dan bertanya apakah yang telah terjadi. Subhanallah! Wanita itu telah dipaksa turun oleh suaminya! Dengan beg bimbit dan anak kecil yang masih tidak tahu apa-apa. Mereka pun kelihatan buntu.

Saya tidak mahu ceritakan apa yang terjadi selepas itu, tetapi, persoalannya,

Dimanakah kesyukuran rakyat Malaysia? Di saat-saat Umat Islam negara-negara lain sedang bergolak dan dihalau dari tanah air, dibunuh di tanah sendiri, mengapakah kita masih tega untuk menganiaya sesama kita? Sadis. Sungguh sadis. Sepatutnya wanita yang melahirkan anak dan anak kecil yang belum berakal kita santuni dan kasihi.

Itulah yang mendetikkan hati saya.."Kalaulah aku superwoman"...


Mood terganggu..masih teringat-ingat wajah wanita dan anak kecil itu.


Sekian

Wassalam WBT

Laman Sesawang Saya Dah Bersawang

Teks: Snh Nurulhusna

Bismillah
Assalamualaikum WBT

Salam Jumaat yang penuh barakah. Lama saya menyepi lantaran tiada akses internet dan kemudahan menaip entri. Alhamdulillah kini saya cuba kembali untuk menghidupkan kembali dan membersihkan sawang-sawang di blog ini.

Terima kasih Ya Allah kerana memberikan saya kemudahan menaip dan saya sedang berusaha untuk mendapatkan talian internet pula. Semangat pula bila melihat sahabat saya yang istiqamah tidak pernah mereka berhenti berblog walaupun melahirkan anak, disergah badai dan ditiup taufan mereka masih utuh menulis entri dengan tekun sekali.

Malunya saya Ya Allah. Tapi tak mengapalah. Tiada yang pernah terlambat. Gerak sahajalah kan?

Mohon maaf kepada guru-guru online yang lama menanti blog ini dikemaskinikan.

Saya cuba ya. Insha Allah.

Itu hari saya sibuk membantu para pelajar UPSR, sekarang SPM pula bakal menjengah. Diharapkan saya dapat berkongsi apa-apa yang mungkin dapat membantu para pelajar SPM 2015 di saat-saat akhir melalui blog ini.

Sekian

Wassalam WBT

Tugasan 7: Latihan Naratif Berdasarkan Perkataan 'haji'

Teks: Siti Nurulhusna binti Hashim

Tugasan 7 : Latihan Naratif Berdasarkan Perkataan.
1. 30/09/2015 - haji

A. naratif latar masa

              Aku masih ingat lagi waktu itu aku masih di darjah tiga. Sebulan lamanya emak menjahit jubah dan telekung untuk dibawa ke tanah suci. Kini, malam ini,  emak dan abah sudah mahu berangkat menyahut seruan haji, mengamanahkan kami adik-beradik untuk dipelihara Tok Lang.

B. naratif latar tempat

              Kami tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang. Sungguh canggih bangunan itu dengan lampu yang besar dan terang. Kaunter-kaunter kelihatan banyak sekali. Kerusi tempat menunggu masih belum cukup banyak untuk menampung jumlah ahli keluarga yang membanjiri hampir segenap ruang yang ada di sini. Tulisan dan sepanduk Lembaga Tabung Haji kelihatan di sana-sini untuk memudahkan jemaah haji membuat pendaftaran.

C. naratif latar masyarakat

              Abang Molee, sepupuku yang sudah biasa terbang ke serata pelusuk dunia segera mendapatkan troli beroda untuk emak dan abah meletakkan beg mereka yang lebih besar daripada tubuhku. Ini pengalaman pertama emak dan abah menaiki kapal terbang kerana kami bukanlah daripada keluarga yang senang-lenang walaupun emak ialah seorang guru. Kami dibesarkan dalam suasana kampung dan emak amat menitikberatkan amalan berjimat-cermat. Kejanggalan kami sekeluarga tidak begitu ketara kerana jemaah haji yang sudah siap dengan pakaian ihram lebih mencuri perhatian setiap orang di sini.

D. naratif perasaan

             Walaupun perasaanku sebak dan sedih sekali untuk melepaskan emak dan abah pergi menunaikan haji, aku tidak mampu berbuat apa-apa kerana aku hanyalah kanak-kanak. Urusan orang dewasa sudah tentu aku tidak boleh ikut campur. Berat sungguh perasaanku. Berbeza dengan adikku yang masih tidak mengerti apa-apa. Aku merenung wajah adik yang teruja melihat kerdipan lampu kapal terbang yang sedang bergerak di landasannya.

E. dialog

             "Mak, kenapa kami tak boleh ikut mak dan abah pergi haji?" soalku apabila aku berpeluang. Tangan emak kugenggam erat seolah-olah tidak mahu melepaskan emak ke mana-mana.

Sunday, 22 June 2014

Kutersenyum Dengan Mata- I

Teks: Snh Nurulhusna 

Bismillah

Assalamualaikum wbt

Lompong ini untuk apa Ya Allah..

Bukan untuk kamu, kamu, kamu, kamu, kamu, kamu dan kamu manusia. 

Kerana aku sudah cuba namun bukan.

Lalu kumengertikan makna bersyukur.

Engkau tambah dia, dia, dia, dia, dia dan dia memenuhi kekosongan.

Lapang terasa dadaku.

Subhanallah walhamdulillah wala ila haillallah Allahuakbar.

Orang di Sebalik Bukit

Teks: Snh Nurulhusna 

Bismillah
Assalamualaikum WBT

Kami orang kampung
Makan pagi sesudah kais pagi
Makan petang kadang ada kadang tak ada
Pun begitu kais tetap kais

Kami di atas bumi tak beralas
Tak kenal langit kerana di atasnya kepala
Kulit kaki letaknya
Apa itu ribu dan ratus kami tak tahu
(Terlalu banyak kami tak biasa)

Hidup kami di sebalik bukit
Ada yang berada ada yang tiada
Ada juga yang cari walau mencaci
Ada juga yang menerpa walau tak suka

Kami mohon ampun jika rajamu tersalah bertanya
Memang salah kami tak faham bahasa
Kami fikir rajamu tak kisah
Rupanya mahu sama setara

Kami orang di sebalik bukit
Tiada suara tiada air mata
Tapi Tuhan itu ada
Nanti kita sama merasa

Friday, 25 April 2014

Nasihat Melukut di Tepian Gantang

Teks: Snh Nurulhusna

Bismillah

Assalamualaikum WBT

Izinkan aku menasihati walau tak layak.

Bagi sahabatku gadis gadis yang belum berpunya. 

Lazimi mendoakan jodoh yang kuat imannya. Minta dijauhkan dari lelaki munafik lagi dayus. Daripada melentur rusuk mereka lebih cenderung mematahkan dan melumatkan rusuk mereka sendiri. Agar dipijak terasa seperti debu yang tidak menyakitkan di tapak kaki.

Lelaki beriman sahabatku sekalian usah terasa. Kalian juga sudah pasti memilih yang paling baik antara terbaik.

Aku juga punya cabaran. Abdullah ini ingin dididik agar jauh dari kemunafikan dan kedayusan. Lina ini, ingin diasuh supaya kuat dalam kelembutan.

Kata kata tak mungkin cukup. Kata kata mungkin juga terlalu banyak.

Masa. Masa itu menyimpan kebenaran.

Laaaahaulawala qu wata illa billah


Sekian

Terima Kasih